Secara etimologi, syariah bererti aturan atau ketetapan yang Allah SWT
perintahkan kepada hamba-Nya. Secara terminologi pula, syariah bermaksud
penerapan seluruh aspek kehidupan, sesuai ajaran Islam yang berkait masalah
ibadat umum dan khusus yang dinisbahkan kepada sumber hukum Islam.
Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan ditetapkan Allah SWT, supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan diri dengan Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya Muslim, bukan Islam serta hubungan dengan alam semesta.
Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan ditetapkan Allah SWT, supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan diri dengan Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya Muslim, bukan Islam serta hubungan dengan alam semesta.
Hal yang demikian dapatlah difahami apabila Allah SWT berfirman yang
bermaksud: "Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan
jalan yang terang. Sekiranya Allah SWT menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya
satu umat saja, tetapi Allah SWT hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya
kepadamu." (Surah al-Maidah, ayat 48)
Oleh itu, syariah adalah satu cara hidup bagi umat Islam dan ia tidak
hanya perlu diamalkan mengikut bahagian tertentu saja. Namun dalam pelaksanaan
syariah, kita perlu teratur dalam melaksanakannya kerana khuatir ia akan
mendatangkan fitnah terhadap pelaksanaan syariah kerana tidak dipandukan nas
jelas.
Menelusuri sejarah, kita akan mendapati penjajahan terhadap masyarakat
Islam memberi kesan besar dengan meminggirkan sistem kehakiman dan
undang-undang syariah yang mana bidang kuasa syariah dihadkan kepada
undang-undang diri serta beberapa aspek kecil sahaja.
Pembebasan penjajahan tidak secara automatik membebaskan umat Islam
daripada belenggu penjajahan itu sendiri kerana benih penjajahan sudah
bersemadi dalam jiwa umat Islam sepanjang tempoh dijajah.
Walaupun secara undang-undang negara sudah merdeka, namun pemikiran dan
ketaatan kepada penjajah masih utuh dalam minda masyarakat. Hasilnya, kita
dapati orang Islam sendiri menentang usaha mengarusperdanakan syariah.
Syariah tidak wajar diharmonikan dengan undang-undang lain tetapi
undang-undang lain itulah yang perlu diasimilasikan supaya tidak tergelincir
daripada landasan syariah. Tiada pilihan bagi umat Islam untuk memilih jalan
selain daripada Islam kerana umat Islam tidak teruja dengan kehebatan kemampuan
akal fikiran manusia.
Ini disebabkan betapa hebat manapun kemampuan akal fikiran manusia, ia
masih lagi di bawah takluk dan kawalan Yang Maha Esa. Begitu juga kebejatan
akhlak, sahsiah diri dan tatasusila dalam masyarakat adalah hasil pengasingan
agama daripada kehidupan seharian. Jika benarlah nilai hidup Barat itu yang
terbaik kenapa masyarakat Barat sendiri seolah-olah tercari-cari arah tujuan
dan penanda aras bagi masyarakat mereka?
Malah pandangan sekularisme yang membantah pemerintah mengawal moral
atau sahsiah diri menjadi pemangkin kepada kerosakan akhlak masyarakat kerana
terlalu bebas melakukan tindakan yang mereka fikirkan baik tanpa sesuatu
piawaian yang selaras. Masyarakat menjadi lunak mengenakan gaya hidup yang
mereka dambakan tanpa mengambil kira kepentingan umum.
No comments:
Post a Comment