Sebenarnya
tidak ada satu sukatan, ukuran atau takar yang digunakan untuk menentukan
kesahihan taraf sama ada sesebuah negara itu negara Islam atau tidak.
Dalam
Islam sendiri tidak menyebut secara jelas mengenai syarat-syarat negara Islam. Dakwaan
bahawa Madinah yang menjadi pusat pemerintahan dan perkembangan Islam sebagai
negara Islam tidak pernah diisytiharkan pada zaman Rasulullah. Malah, pada
zaman pemerintahan empat orang khalifah juga tidak berlaku pengisytiharan
itu.
Perjanjian
Madinah tidak boleh dianggap satu perlembagaan untuk tertubuhnya sebuah negara
dalam ertikata negara berdaulat seperti konsep negara moden sekarang.
Perjanjian
Madinah lebih menekankan kepada persetujuan dan persefahaman antara orang Islam
dengan orang bukan Islam hidup di satu lingkungan tempat yang sama dalam
keadaan aman, bebas dan mempunyai hak yang sama.
Sebenarnya,
penduduk bukan Islam Madinah tidak menganggap Nabi Muhammad sebagai pemimpin
mereka. Mereka hanya bersetuju dalam perkara berkaitan kepentingan bersama
seperti menjaga keselamatan jika diserang musuh dari luar.
Madinah
juga tidak terdapat sempadan negara yang layak dipanggil negara seperti hari
ini. Justeru, tidak tepat jika dikatakan Nabi Muhammad pemimpin pertama negara
Islam Madinah.
Masyarakat
Madinah tidak berkerajaan seperti konsep negara sekarang. Mereka hidup
berkabilah yang masing-masing mempunyai ketua.
Perjanjian
atau Piagam Madinah tidak menyebut atau melantik Nabi Muhammad sebagai ketua
kerajaan. Orang Islam menghormati Rasulullah bukan atas status pemimpin negara,
tetapi sebagai pesuruh Allah.
Rasulullah
diutuskan untuk tugas memimpin manusia di seluruh dunia dan sepanjang masa. Rasulullah
bukan sekadar pemimpin negara seperti didakwa oleh mereka yang melihat Madinah
sebagai negara Islam.
Seluruh
umat Islam adalah ‘rakyat’ kepada Nabi Muhammad, di dunia dan akhirat. Rasulullah pemimpin agung untuk seluruh umat
Islam tanpa sempadan negara, bangsa, budaya dan masa, serta dalam semua aspek
berkaitan.
Jika,
Nabi Muhammad dianggap ketua negara Madinah, bagaimana pula kedudukan umat
Islam yang berada di luar Madinah. Adakah mereka tidak menjadi rakyat atau umat
Nabi Muhammad?
Jadi,
tidak tepat jika dikatakan Nabi Muhammad sebagai ketua negara yang meletakkan
sama taraf dengan pemimpin negara seperti yang ada kini.
No comments:
Post a Comment