Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Namun, jika ahli
keluarga menangguhkan pengebumian sehingga waktu siang kerana ingin menunggu
ahli waris yang lain atau supaya ramai yang boleh menunaikan solat ke atas
jenazah, maka lebih baik dikembumikan pada siang hari.
Namun, jika ahli keluarga takut sekiranya ditangguhkan
pengebumian akan menyebabkan mudarat kepada jenazah, maka sebaiknya
disegerakan.
Islam mengajarkan umatnya untuk menghormati manusia sama ada
yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Oleh itu, Islam menuntut
untuk mengebumikan mayat agar kehormatannya tetap terjaga. Ia juga bagi
memastikan agar mayat tidak dirosakkan, bau tidak tersebar sehingga menarik
perhatian binatang-binatang liar.
Mengebumikan jenazah adalah salah satu fardu kifayah yang
perlu ditunaikan dan tidak boleh ditinggalkan.
Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Ini berdasarkan
hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata: “Orang ramai
melihat (cahaya) api di kawasan perkuburan. Lantas mereka pergi ke kawasan
perkuburan tersebut. Rupa-rupanya Rasulullah SAW berada di kawasan tersebut. Baginda
bersabda: “Bantu saya kebumikan sahabat kalian ini. Beliau adalah seorang
lelaki yang menguatkan suara ketika berzikir.
Berdasarkan hadis di atas, para ulama menjadikan ia dalil
tentang keharusan jenazah dikebumikan pada waktu malam, sepertimana yang
dinyatakan oleh Imam Nawawi. Beliau menyatakan: “Harus mengebumikan jenazah
pada waktu malam”
Al-Khatib Al-Syirbini juga menjelaskan dengan lebih
terperinci. Katanya: “Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam tanpa ada
kemakruhan pada perbuatan tersebut. Ini kerana Aisyah, Fatimah dan para Khulafa
Al-Rasyidin kesemuanya dikebumikan pada waktu malam melainkan Ali. Rasulullah
SAW juga melakukannya seperti mana hadis yang telah dinilai sahih oleh
Al-Hakim. Tidak syak lagi bahawa perbahasan tersebut adalah melibatkan jenazah
orang Islam.”
Ibn Hajar Al-Haitami juga menjelaskan perkara yang sama.
Beliau menyatakan :
“Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam bukan makruh.”
Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam Al-Nawawi dalam
syarahan beliau terhadap hadis Sahih Muslim. Beliau menjelaskan bahawa
keharusan mengebumikan jenazah pada waktu malam adalah berdasarkan beberapa
riwayat hadis antaranya hadis wanita berkulit hitam serta riwayat hadis tentang
seorang lelaki yang berada di masjid dan meninggal dunia pada waktu malam.
Namun, jika perbuatan mengebumikan jenazah pada waktu malam
boleh menyebabkan orang ramai meninggalkan solat ke atas jenazah, kurangnya
orang yang menunaikan solat ke atas jenazah atau tidak teliti ketika kafankan
jenazah kerana ingin segera mengebumikan, maka ia tidak dibenarkan seperti mana
riwayat hadis yang lain.
Kesimpulannya, harus mengebumikan jenazah pada waktu malam.
Jika ahli keluarga menangguhkan pengebumian sehingga waktu siang kerana ingin
menunggu ahli waris yang lain atau supaya ramai yang boleh menunaikan solat ke
atas jenazah, maka lebih baik dikembumikan pada siang hari.
Namun, jika ahli keluarga takut sekiranya ditangguhkan
pengebumian akan menyebabkan mudarat kepada jenazah, maka sebaiknya
disegerakan.
Sumber - https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4845-irsyad-al-fatwa-siri-ke-583-hukum-mengebumikan-jenazah-pada-waktu-malam
No comments:
Post a Comment