Wednesday 22 January 2020

APAM BAKAR KELANTAN

Satu jenis kuih tradisi di Kelantan yang terkenal dinamakan kuih apam. Kuih apam ini berbeza dengan apam balik. Untuk membezakan dengan apam balik, maka ia dipanggil apam bakar, apam kelantan dan ada juga memanggilnya apam mayat.

Resipi ini warisan dari orang-orang lama menyebabkan ia sentiasa digemari ramai tanpa mengira usia. Kalau makan panas-panas, memang layan. Ada pula kelapa parut.

Apam ini dinamakan apam bakar mungkin disebabkan ada tompok-tompok garing berwarna hitam seperti dibakar. Kesan tompok hitam itu terjadi kerana semasa memasak tidak banyak menggunakan minyak masak. Minyak masak hanya disapu sedikit pada bahagian kuali untuk mengelak adunan melekat untuk dibalik dan diangkat apabila masak.

Bahan asas untuk membuatnya ialah tepung beras, tapai ubi kayu, pisang, gula, lada hitam dan yis. Tapai ubi kayu dan pisang dilenyak sebelum digaul dengan bahan-bahan lain. Adunan dibiarkan semalaman sehingga ia nampak berbuah dan ringan apabila dikacau sebelum dibakar.

Bentuknya bulat mengikut lengkuk kuali denga bahagian tengahnya lebih tebal. Ia dimasak sebiji-sebiji. Masa memasak setiap biji kira-kira 6 minit dengan api kecil.

Sedap dimakan dicicah dengan kelapa parut yang digaul sedikit dengan garam dan gula.

No comments:

Post a Comment