Thursday 14 March 2024

BERHATI-HATI KANDUNGAN GULA BUAH KURMA

 
Buah kurma memang berkhasiat. Buah yang disebuat di dalam al-Quran. Buah yang melatari kisah dan sunah Rasulullah. Kurma banyak ditanam di rantau negara Arab, utara Afrika dan telah merebak ke beberapa negara yang secara tradisinya bukan pengeluar buah kurma.
 
Kurma memang banyak jenis. Banyak bentuk dan rasa yang berbeza. Kira macam buah durian jugalah. Banyak nama dan rasa yang menyebbkan harganya berbeza jauh berkali-kali ganda.
 
Kurma juga dimakan di peringkat usia berbeza. Buah kurma pada hari ke-105 dinamakan khalal. Pada tahap ini, kurma lebih dikenali sebagai kurma muda dan sudah boleh dimakan. Sudah mencapai saiz kebiasaan kurma. Warna: Kuning dan rasa manis-manis kelat 
 
Pada hari ke-120 pasca pendebungan, kebiasaannya kurma telah mencapai tahap ruthob di mana kurma sudah mula masak. Saiz maksimum kurma dengan warna coklat. Manakala rasanya manis seperti ciku dan rangup 
 
Manakala memasuki hari ke-150, kurma telah memasuki tahap terakhir kematangan iaitu tahap tamar. Pada tahap ini, kurma telah masak sepenuhnya dan telah kering. Saiznya mengecil berbanding ruthob dan warna bertukar coklat. Rasa manis
 
Kurma di dalam gambar adalah khalal. Sudah boleh dimakan, tetapi kalau hendak lebih sedap tunggu kira-kira seminggu hingga dua minggu lagi sehingga mencapai tahap ruthob. Ruthob lebih lembut dan manis. Orang di negara terdapat banyak kurma akan memakan pada peringkat ini. Buah kurma peringkat ruthob lembut tetapi rangup, segar dan manis sederhana.
 
Apabila sudah masuk tahap tamar, ia menjadi liat dan lebih manis. Ia masih sihat untuk dimakan. Tahan lama untuk disimpan.
 
Persoalan sekarang, ada pengusha kurma yang menjeruk kurma dalam air gula dengan tujuan untuk menjadikan ia tahan lama, terutama kurma yang dipetik muda tetapi tidak habis dijual.
 
Di dalam kurma memang sudah ada gula dan rasa manis. Bayangkan ditambah pula dengan gula digunakan untuk menjeruk yang meresap masuk ke dalam buah kurma. Bayangkan betapa banyaknya gula dalam sebiji kurma.
 
Kita pula kalau berbuka segala manisan penuh di atas meja. Tidak termasuk air balang. Gula lagi dan lagi.
 
Hendak mengikut sunnah Rasulullah SAW dengan menjamah kurma ketika berbuka memang sudah bagus. Ada pahala.
 
Masalahnya apabila terus memasukkan pelbagai jenis makanan dan minuman yang manis-manis yang tidak baik untuk kesihatan. Memakan sesuatu yang boleh memudaratkan kesihatan bukan amalan sunah. Melakukan perbuatan memudaratkan kesihatan adalah ditegah dan berdosa.
 
Ramadan kali ni, kita berusahalah untuk kurangkan jumlah gula dalam makanan dan minuman kita, terutama ketika berbuka. Berpuasalah dengan cara yang sihat. Kalau betul kita ikut ajaran Islam, tidak adanya kita berbuka dengan nafsu.
 
Hindari kurma yang telah mengeluarkan kristal gula pada bagian kulit luar kerana rasanya sudah tidak sekenyal yang masih lembut. Agar tidak mengeluarkan kristal gula, ada baiknya kurma segar langsung dimakan atau disimpan dengan cara dikeringkan terlebih dahulu.
 
Jika tidak ingin dikeringkan, baiknya kurma segar disimpan dalam bekas kedap sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Dengan cara itu ia kekal segar dan sedap.