Sunday, 11 February 2024

PERBEZAAN BIDANG KUASA GUBAL UNDANG-UNDANG

 
Berikut dengan keluarnya keputusan Kes Nik Elin Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Feb 2024 semalam oleh Mahkamah Persekutuan ramai yang keliru dan tidak dapat memahami hakikat apa sebenarnya yang berlaku.
 
Malaysia adalah sebuah negara yang menjamin kedaulatan undang-undang di mana prinsip perundangan yang menyatakan bahawa keseluruhan negara harus diperintah oleh undang-undang. Perlembagaan telah memberi kuasa untuk membuat undang-undang. Kuasa membuat, menggubal undang-undang dinamakan kuasa legislatif. Kuasa ini diberi kepada dua badan perundangan iaitu di peringkat pusat dinamakan Parlimen yang terdiri Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Manakala di peringkat negeri dinamakan Dewan Undangan Negeri (DUN)
 
Kedua-dua kuasa ini diperjelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan: Perkara 74 iaitu Hal perkara undang-undang Persekutuan dan Negeri.
 
(1) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan).
 
(2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.
 
Oleh kerana Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri maka perundangan Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri. Hanya Dewan Undangan Negeri sahaja yang berbidang kuasa untuk membuat undang-undang Islam berkaitan Hukum Syara. Dengan lain-lain perkataan Parlimen tidak boleh membuat undang-undang yang berkaitan Hukum Syara.
 
Begitu juga DUN tidak boleh membuat undang-undang yang telah diberi kuasa kepada Parlimen. Parlimen dan DUN tidak boleh melangkaui bidang kuasa masing-masing melainkan perkara-perkara yang dijelaskan dalam Senarai bersama iaitu dalam Senarai Ketiga Jadual.
 
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kuasa DUN untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan adalah kabur dan tidak jelas. Jadual Kesembilan Perlembagaan. Senarai Kedua tidak memperincikan satu persatu perkara tersebut seperti dalam kes sivi). Seperti berikut :
 
Dalam perkara sivil: Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, penjagaan….dll
 
Dalam perkara jenayah Perlembagaan tidak menyebut satu persatu jenis kesalahan peruntukan tersebut hanya disebut secara umum seperti berikut:
 
Pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan….
 
Inilah yang menjadi punca perbalahan tersebut sama ada kesalahan jenayah tersebut dikatakan bertindih dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Atau ia adalah jenis kesalahan yang hampir sama tapi mempunyai tafsiran yang berbeza ?
 
Perkara utama yang menjadi isu perundangan ialah perkataan “kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu”.
 
Tun Abdul Hamid Mohamad ketika menjadi Ketua Hakim Negara di dalam kes Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 telah merumuskan bahawa Mahkamah Syariah ada mempunyai bidang kuasa kes jenayah namun ia terhad dengan satu formula mengenai bidang kuasa jenayah Syariah seperti berikut:
(i) kesalahan itu mestilah terpakai terhadap penganut agama Islam sahaja;
(i) kesalahan itu mestilah bercanggah dengan perintah agama
(III) kesalahan itu tidak termasuk di bawah bidang kuasa Senarai Persekutuan; dan
(iv) kesalahan itu mengikut bidang kuasa jenayah yang ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 (hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan).

No comments:

Post a Comment