Satu sikap penceramah yang perlu dielak ialah syok sendiri.
Perasan dia hebat berceramah dan orang suka akan ceramahnya. Sedangkan
pendengar rasa meluat dan menanti-nanti bila ceramah itu akan ditamatkan.
Ketika itu, pendengar lebih menumpukan perhatian kepada dua muka iaitu muka jam
dan muka pintu.
Disebabkan sikap syok itulah ada penceramah yang perlu
diingatkan oleh pengerusi majlis agar ditamatkan ceramah mengikut masa
ditetapkan. Tidak perlu terus melalut dan perasan orang suka mendengar
ceramahnya.
Perkara ini biasa berlaku. Ini termasuklah dalam ceramah
agama. Sekarang ini boleh dikatakan semua masjid mengadakan kuliah atau ceramah
agama selepas sembahyang berjemaah Maghrib sehingga menantikan masuk waktu
Isyak.
Jemaah atau pendengar biasanya di kalangan penduduk
setempat. Mereka terus berada di masjid untuk mendengar ceramah sambil menanti
masuk Isyak. Kalau hendak balik masa begitu singkat dan kalau hendak melakukan
sesuatu pun tidak sempat.
Masyarakat sekarang masih banyak melakukan aktiviti selepas
sembahyang Isyak. Ada yang perlu menghadiri mesyuarat, perjumpaan atau tugas
lain yang perlu dilakukan. Masa yang terlibat biasanya bermula pukul 9.00 malam
atau 9.30 malam.
Jadi, mereka amat berharap agar dapat melakukan solat Isyak
berjemaah sebaik masuk waktu, yang mereka sudah tahu dan dapat menganggak bila
akan selesai, dan seterusnya dapat pergi ke tempat yang perlu ditujui.
Malangnya, disebabkan ada penceramah yang syok sendiri, waktu
diseret sehingga beberapa puluh minit sehingga setengah jam. Sikap itu tentu
sekali meresahkan jemaah yang perlu mengejar masa.
Sebab itu, ada jemaah yang akan meninggalkan masjid tempat
ceramah itu dan menuju masjid atau surau terdekat yang sudah melaungkan azan.
Sepatutnya penceramah amat berat soal ini. Berhenti apabila
masuk waktu Isyak. Kandungan atau isi yang hendak disampaikan itu boleh
disampaikan pada waktu lain. Biasanya penceramah ditugaskan setiap minggu dan
boleh disampaikan pada minggu hadapan.
Kalau merasakan apa yang ingin disampaikan itu penting,
sebenarnya sebanyak mana masa yang diambil sebenarnya tidak cukup. Ilmu agama
amat luas dan tidak akan ada penghujungnya.
Penceramah yang tidak pandai menghormati masa tidak sepatutnya diberikan peluang terus berceramah pada masa hadapan. Dia sebenarnya penceramah yang gagal menyampai apa yang sepatutnya dalam tempoh masa yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment