Sunday, 11 February 2024

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH BERSUMBER SYARAK

 
Penggubalan enakmen jenayah syariah negeri dibuat dengan penuh teliti. Ia digubal berasaskan hukum syarak bersumber daripada al-Quran dan al-Hadis. Hukum itu berkaitan perintah atau larangan Allah SWT. Justeru ia bukan pandangan atau keperluan masyarakat setempat, sebaliknya kesalahan itu telah ditetapkan oleh ajaran Islam.
 

Jika hukuman berkaitan kesalahan itu telah ditentukan oleh al-Quran dan al-Hadis, ia dipanggil hudud. Jika kesalahannya telah ditentu dan hukumannya diberi pilihan seperti diyyat atau bunuh ia dinamakan qisas. Jika kesalahan dan hukumannya tidak ditentukan tapi ia dibuat oleh pemerintah berasaskan kuasa perundangan, ia dinamakan takzir.

Di mana kesalahan dan hukumnya hendaklah dirujuk dan bersesuaian dengan hukum syarak. 

Sebelum Undang-undang Islam khususnya Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri di bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ke Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk dikanunkan ia sebenarnya terlebih dahulu telah didraf dan digubal oleh satu Jawatankuasa Undang-undang Islam Negeri yang mana ahli-ahlinya dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri  di bawah naungan DYMM Sultan/ Raja negeri.

Lazimnya Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Panasihat Undang-undang Negeri, Mufti, Kadi Besar Negeri, Timbalan Pendakwaraya, ulama, peguam dan pakar perundangan negeri. Gabungan ini amat penting untuk memastikan setiap undang-undang yang digubal sesuai dan tidak bercanggah dengan hukum syarak dan perundangan yang ujud semasa.

Selepas itu ia akan disemak khusus dari segi gubalan bersama terjemahan teks bahasa Inggeris di pejabat Penasihat Undang-undang Negeri. Kemudian ia akan dibawa ke Persidangan Majlis Agama Islam Negeri untuk makluman dan keputusannya diisembah maklum kepada Sultan. Atas perkenan baginda ia diangkat  ke DUN untuk proses perundangan. Undang-undang yang diluluskan di DUN akan diangkat semula kepada Sultan untuk perkenan diraja dan diwartakan sebelum menjadi Enakmen negeri.

Manakala di peringkat Persekutuan ia digubal melalui satu Jawatankuasa Khas Penggubalan Undang-undang Syarak dan Sivil yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) di bawah Majlis Raja-Raja Melayu (MRR).

Mesyuarat MKI kali ke -32 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) pada 12 Februari 1988, telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syarak dan Sivil.

Pada 6 Mei 1988, Jawatankuasa ini telah mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil sebagai jawatankuasa bertindak dan menjadi pelaksana kepada Jawatankuasa Mengkaji Undang-undang Syarak dan Sivil.

Sejajar dengan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil tersebut, peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menyelaraskan dan menyeragamkan undang-undang Islam semakin berkembang di samping melaksanakan fungsi-fungsi lain yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sebelum draf tersebut dijadikan Akta untuk Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan dimuktamatkan oleh Jabatan Peguam Negera dan melalui kelulusan kabinet sebelum dibawa ke Parlimen oleh proses perundangan dengan perkenan Agong dan pewartaan untuk dijadikan Akta.

Selain draf undang-undang yang dibuat bagi tujuan penyelarasan negeri-negeri ia juga digunakan untuk Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Undang-undang Islam yang selaras di seluruh negeri sekarang dan beberapa pindaan Perlembagaan, Undang-undang Tanah dan sebagainya adalah hasilan dari perjuangan dan titik peluh mereka.

Hasilan undang-undang tersebut dan yang ada digunakan pakai pada hari ini bukan  disedut dari “common laws” atau undang-undang sivil.

Jawatankuasa tersebut telah membuat kajian dan perbandingan undang-undang di negara-negara Islam. Malah mereka berkorban masa, jiwa dan raga tinggal berbulan-bulan di negara Mesir, Pakistan dan lain-lain melihat kanun atau undang-undang Islam yang telah digubal lebih awal di negara berkenaan yang dijadikan asas kepada undang-undang pentadbiran yang ada masa kini.

No comments:

Post a Comment