Gunung Reng terletak di Kampung Gunong,
Jeli, Kelantan berhampiran Kampung Batu Melintang dan hanya lima belas
kilometer dari pekan Jeli. Tapak gunung ini pernah menjadi penempatan sebuah
perkampungan iaitu Kampung Tala kira-kira 1,400 tahun yang lalu.
Ketinggian gunung ini 1889 meter dari paras
laut. Gunung yang unik itu dipercayai ada kaitan dengan legenda Puteri Saadong
serta khazanah yang ada di dalamnya masih menjadi rahsia sehingga ke hari ini.
Menurut hikayat di bawah tapak gunung ini
pernah wujud sebuah perkampungan dinamakan Kampung Tala kira-kira 1,400 tahun
lalu. Perkampungan itu dibuka Tok Tadeh yang berketurunan Jawa. Kononnya pada
satu hari ketua Kampung Tala mengadakan kenduri selama tujuh hari tujuh malam.
Dalam kenduri itu turut diadakan pelbagai jenis permainan.
Malah, mereka juga mengadakan permainan
laga anjing dan kucing atas bumbung rumah. Ketika haiwan itu berlaga tiba-tiba
berlaku ribut taufan. Pada masa sama seorang wanita dan cucunya pulang ke rumah
terletak di kampung berhampiran yang dinamakan sebagai Kampung Gantang untuk
memunggah padi yang sudah kering.
Usai memunggah padi, wanita itu kembali
semula ke Kampung Tala. Namun, kelihatan kampung berkenaan sudah diserkup
sebuah batu yang besar sehingga melenyapkan segala isi kampung.
Batu besar itu dikatakan asalnya sebuah gunung
terletak di Hulu Sungai Reng yang mengambil masa perjalanan tiga hari untuk tiba
ke lokasinya yang bersempadan Kelantan dan Perak. Selepas kejadian, lokasi asal
gunung itu menjadi sebuah kolam.
Menariknya, Gunung Reng sekarang ini terdapat
69 buah gua. Gunung Reng menjadi destinasi tarikan ekopelancongan di Jeli
kerana pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak dan beriadah di
kawasan gunung itu.
Pengunjung yang ingin melawat di dalam gua ada
tangga disediakan bagi memudahkan pengunjung masuk ke dalamnya yang agak
tinggi.
Setibanya dalam gua berkenaan ternyata ia
begitu luas dan ada banyak gua kecil di sekitarnya. Malah, di bentuk-bentuk
batu yang unik juga dapat dilihat dengan jelas.
Setiap batu yang terbentuk unik itu
mempunyai hikayat tersendiri antaranya tempat bertapa pembesar terdahulu.
Di bahagian atas mempunyai kolam. Untuk
menuju kawasan itu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pendakian yang
amat berhati-hati. Kawasan yang dikatakan kolam itu mempunyai air yang tidak
pernah surut dan mengalir dalam lubang yang lain.
Di bahagian puncak di luar gua, pengunjung
berpeluang melihat melihat panorama sekeliling. Pemandangan sekeliling mudah
dilihat kerana Gunung Reng adalah bukit tungal di kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment