Thursday, 25 November 2021

AKTIVITI PELANCONGAN DELTA SUNGAI KELANTAN

  
Aliran air Sungai Kelantan membentuk delta di muara berhampiran pantai. Berpuluh-puluh pulau terbentuk yang dari segi pentadbiran terletak di jajahan Kota Bharu dan Tumpat. 
 
Di sebelah Kota Bharu, pembentukan pulau tidak ketara dilihat kerana ia hanya dipisahkan oleh sungai-sungai kecil dan kesemua pulau itu dihubungi dengan jambatan yang boleh dilalui kenderaan. 
 
Manakala di sebelah Tumpat pula terdapat 33 pulau yang sebahagian besarnya dipisahkan secara jelas oleh sungai yang luas. Untuk pergi ke pulau-pulau tersebut perlu menggunakan bot. 
 
Terdapat dua jeti utama untuk ke pulau iaitu Jeti Kok Majid, Tumpat ataupun Jeti Kuala Besar, Kota Bharu. 
 
Daripada 33 pulau tersebut, hanya 13 pulau berpenghuni. Antara pulau yang berpenghuni ialah Pulau Haji Nik Mat, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Che Soh, Pulau Teluk Renjuna, Pulau Aur, Pulau Tongkang dan Pulau Pantai Baru. 
 
Masa menaiki bot dari Jeti Kok Majid ke Jeti Pulau Teluk Renjuna, pulau terdekat hanya mengambil masa kira-kira 5 minit. Begitu juga dari Jeti Kuala Besar.  
 
Pemandangan di sepanjang sungai untuk ke satu-satu destinasi dihiasi dengan pokok kelapa dan pokok nipah. Pokok nipah banyak tumbuh di pinggir gigi air, mana pokok kelapa di kawasan lebih tinggi. 
 
Kepulauan Delta Sungai Kelantan merupakan kawasan pengeluar utama kelapa di Kelantan. 
 
Suasana di pulau damai dengan suasana kampung tanpa kenderaan, kecuali kedengaran enjin bot dan motosikal. 
 
Hubungan sesama penduduk amat harmoni, saling menghormati dan bantu membantu antara satu sama lain. 
 
Suasana aman dan keindahan alam semulajadi boleh dijadikan aset menarik kunjungan orang ramai. Satu pengalaman yang menarik menikmati pemandangan yang indah dan jarang ditemui di tempat lain. 
 
Pelancong boleh menggunakan khidmat bot tambang untuk berkunjung dari satu pulau ke satu pulau. Atau membuat sewaan khas untuk memudahkan perancangan untuk ke satu destinasi ke satu destinasi. 
 
Usaha untuk menyediakan kemudahan seperti resort atau chalet serta kunjungan ke satu-satu destinasi menarik perlu dirancang oleh penduduk. 
 
Industri pelancongan mampu menjadi pendapatan lumayan kepada mereka yang terlibat menyediakan kemudahan atau perkhidmatan yang berkaitan. 
 
Jangan persia-siakan keindahan flora dan fauna, serta keistimewaan yang boleh dibangunkan sebagai daya tarikan untuk orang berkunjung ke pulau-pulau di delta Sungai Kelantan.

 


No comments:

Post a Comment