Tuesday, 30 August 2022

CARA KIRA ZAKAT EMAS PERHIASAN

  
Wanita sinonim dengan perhiasan emas. Emas temasuk dalam harta. Persoalannya, adakah harta dalam bentuk emas wajib dikeluarkan zakat? 
 
Menurut jumhur ulama (mazhab Maliki, Syafiie dan Hanbali),  emas yang dipakai wanita sebagai perhiasan (walaupun dipakai sekali dalam setahun)  tidak dikenakan zakat, kecuali jika berlebihan barulah dikenakan zakat. 
 
Maksud berlebihan ialah yang melebihi kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (yakni kadar uruf setempat), iaitu yang diputuskan oleh fatwa negeri-negeri seperti berikut; 
1. Selangor; 800 gram 
2. Wilayah Pesekutuan; 150 gram emas 
3. Johor; 850 gram emas 
4. Pulau Pinang; 165 gram 
5. Sabah; 152 gram. 
6. Negeri Sembilan; 200 gram 
7. Kedah; 85 gram 
8. Perak; 500 gram 
9. Trengganu; 850 gram 
10. Melaka; 180 gram 
11. Kelantan; tiada uruf 
12. Pahang; 500 gram 
13. Perlis; tiada penetapan uruf (kerana fatwa negeri Perlis memakai pandangan Imam Abu Hanifah yang mewajibkan zakat ke atas semua emas yang dimiliki termasuk perhiasan). 
 
Yang perlu dikira dalam penentuan kadar uruf itu ialah emasnya sahaja, tidak termasuk batu permatanya. Maka jika perhiasan emas yang dimiliki dan dipakai melebihi kadar di atas (mengikut negeri masing-masing) wajiblah dikeluarkan zakat ke atas kadar berlebihan bila cukup tempoh tahunannya. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah; 2.5%. 
 
Contohnya; bagi wanita yang tinggal di Wilayah Persekutuan, katalah dia memiliki emas yang dipakai yang berat keseluruhan; 200 gram, maka perkiraan zakatnya ialah; 
- 250 gram emas (berat emas yang dipakai) - 150 gram emas (iaitu kadar pemakaian uruf) = 100 gram (perhiasan yang masuk dalam hitungan zakat). 
 
Kadar zakat dikenakan; 100 gram x harga semasa emas x 2.5 %. 
 
Katakanlah; harga semasa emas bagi 1 gram ialah RM 150, maka kadar zakatnya ialah;

100 gram emas x RM 150 x 2.5% = RM 375.

Adapun perhiasan emas yang tidak dipakai dalam setahun walaupun sekali, ia mengambil hukum emas simpanan dan wajib dibayar zakat iaitu dengan dihitung bersama emas-emas yang lain jika ada (dinar emas, jongkong emas, emas perhiasan yang berlebihan tadi dan sebagainya) dan aset kewangan yang lain (saham, wang simpanan dan sebagainya) dan dikeluarkan zakatnya 2.5% jika nilai keseluruhannya menyamai atau melebihi 85 gram emas (iaitu kadar nisab zakat emas).

Huraian di atas adalah mengikut pandangan jumhur mazhab. Adapun menurut mazhab Hanafi, keseluruhan emas dikenakan zakat termasuk perhiasan sama ada perhiasan yang dipakai atau disimpan, yang berada dalam kadar uruf tadi atau yang berlebihan.

No comments:

Post a Comment