Tuesday, 11 July 2023

Matlamat Muhyiddin tidak menghalalkan cara

 
Penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah di atas pertuduhan rasuah RM232.5 juta. Alasan mereka bahawa wang yang diterima itu dimasukkan ke dalam akaun parti, bukan akaun peribadi.
 
Penyokong tidak faham bahawa pertuduhan tiada kaitan sama ada wang itu dimasukkan ke dalam akaun parti atau akaun peribadi.
 
Bahkan dalam hujah peguam bela Muhyiddin ketika memohon agar pertuduhan itu digugurkan tidak langsung menyebut tentang permohonan itu disebabkan wang itu dimasukkan ke dalam akaun parti yang dianggap oleh penyokong sebagai bukan satu kesalahan.
 
Penyokong bertegas mengatakan tidak ada undang-undang mengatakan salah memasukkan wang dalam akaun parti.
 
Ya... memang tidak salah memasukkan wang dalam akaun parti. Membayar yuran sebagai ahli parti juga dianggap memasukkan wang dalam akaun parti. Jadi, mana salahnya. Akaun parti tidak akan ada wang jika tiada orang memasukkannya.
 
Muhyiddin didakwa bukan kerana memasukkan wang ke dalam akaun parti. Jika dia didakwa di atas perbuatan itu, maka semua orang yang memasukkan wang dalam akaun parti perlu didakwa.
 
Muhyiddin, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.
 
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
 
Pihak pendakwa raya menjelaskan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin Yassin adalah lengkap dengan butiran untuk memaklumkan bekas perdana menteri itu mengenai kesalahan yang didakwa itu.
 
Pendakwa raya menegaskan bahawa empat pertuduhan berkenaan menyatakan unsur-unsur kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, iaitu Muhyiddin atas kapasitinya sebagai pegawai awam ketika itu iaitu perdana menteri, telah menggunakan jawatan berkenaan untuk suapan RM232 juta.
 
Jelas sekali, pendakwaan itu tidak menyebut mengenai kesalahan memasukkan wang ke dalam akaun parti.
 
Kalaulah perbuatan Muhyiddin (belum dibicarakan) menerima suapan itu tidak bersalah kerana alasan wang dimaksukkan ke dalam akaun parti, maka bolehlah dikatakan perbuatan merompak, mencuri dan sebagainya tidak bersalah jika wang dimasukkan ke dalam akaun parti.
 
Ingatlah, matlamat tidak menghalalkan cara.

No comments:

Post a Comment