Friday, 4 August 2023

ORANG BERIMAN ITU BERSAUDARA

 
Ajaran Islam mementingkan persaudaran sesama muslim, tanpa mengira daripada parti mana. tentu sekali bukan daripada ajaran Islam apabila menyeru kepada perseteruan dan perbalahan sesama Islam.
 
Bahkan, amat bertentangan dengan ajaran Islam apabila menjatuhkan hukum kafir terhadap sesama Islam semata-mata berlainan idealogi politik. Sebarang bentuk persengketaan sesama Islam perlu dihentikan atau perlu didamaikan agar ia tidak berterusan berlaku.
 
Perkara ini dinyatakan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)
 
Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci tetapi jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (Hadis riwayat Bukhari)
 
Menjaga persaudaraan amat penting. Antara cara menjaga persaudaraan ialah dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain dan jangan berdengki.
 
Individu Islam juga perlu mengelak wujud perasaan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu mereka dengan mencegah mereka daripada melakukan maksiat.
 
Sesungguhnya, Islam adalah agama kasih sayang dan persaudaraan. Justeru, sebarkan kasih sayang dan hindar persengketaan.
 
Pengajaran:
- Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain.
- Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita
- Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain.
- Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci terhadap saudara Muslim kita yang lain.
- Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.
 
 

No comments:

Post a Comment