Para ulama berselisih pandangan
mengenai persoalan hukum meraikan hari ibu. Sesetengah ulama
mengatakan ia bersifat bidah atau berdosa malahan ada
yang ‘extreme’ sehingga mengharamkannya.
Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di
Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail, berpandangan sambutan
Hari Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada hari
ibu adalah bidah dalam perkara adat dan bukan ibadat.
Apa yang penting, sambutan hari ibu
yang kita sambut itu tidak diniatkan dengan kaitan sambutan hari ibu yang
diamalkan oleh penganut agama lain yang bersandarkan kepercayaan mereka.
Anggaplah sambutan itu sebagai satu
adat yang kita wujudkan untuk kebaikan. Dalam Islam sesuatu adat
yang mendatangkan kebaikan dibenarkan. Sambutan itu dilakukan dalam
ruang lingkup untuk meraikan ibu dan meletakkan kedudukan ibu pada tahap yang
mulia.
Sesungguhnya, Allah SWT memerintahkan
agar kita memuliakan ibu dan bapa. Berdosa besar sesiapa yang
mengabaikan kedua ibu bapanya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu
telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah
seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam
jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun).” (Surah al-Isra, ayat 23)
Dengan termaktubnya hari ibu
seharusnya dijadikan hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu
dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.
Pengorbanan ibu kepada anak itu tidak
mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit dan kemewahan semata-mata. Oleh itu,
wajib anak berbuat baik dan berbakti kepada ibu mereka terutama selepas
meningkat dewasa.
Firman Allah SWT: “Dan Kami
perintahkan kepada manusia (supaya berbuat baik) kepada kedua orang tuanya,
ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan
menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang
tuamu, hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Lukman, ayat 14)
Kita menyambut hari ibu bukan
bermakna menyembah ibu sepertimana dilakukan oleh penganut agama lain yang
menjadi tradisi mereka. Sesungguhnya, biarpun ibu diletakkan di
tahap yang mulia, tidak pula bermakna kita menyembah ibu.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra, ayat 23).
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra, ayat 23).
No comments:
Post a Comment