Tuesday, 31 July 2018

MAKAN DARI HASIL USAHA SENDIRI

Sejarah telah membuktikan dalam banyak peristiwa, umat Islam dibeli keislaman mereka dengan sogokan wang disebabkan kemiskinan yang mencengkam. Akibatnya ada kerajaan Islam runtuh disebabknnya. Sekarang ini perkara sama masih dilakukan oleh penyebar agama lain dalam memesong akidah umat Islam dengan menawarkan kemewahan hidup.

Justeru Islam amat menuntut agar seluruh umatnya mencari rezeki secukupnya untuk keperluan hidup di dunia. Rezeki yang diperolehi digunakan untuk mendapat keredaan Allah dengan melakukan segala perkara yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang.

Islam sama sekali tidak melarang umatnya daripada mencari kekayaan melebihi daripada apa yang diperlukan. Apa perlu diingatkan jangan kerana mencari kekayaan menyebabkan lupa kepada suruhan Allah dan melakukan secara ditegah.

Pelbagai usaha dapat dilakukan untuk mencari rezeki asalkan tidak bertentangan dengan kehendak agama. Semua pekerjaan dipandang mulia selagi ia diniatkan untuk kebaikan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seseorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” – (Hadis riwayat Bukhari).

Hadis tersebut menceritakan bagaimkana Nabi Daud mencari rezeki dengan menjadi tukang besi. Jika difikirkan tentulah kerja itu tidak sesuai dilakukan oleh seorang utusan Allah. Tetapi itulah contoh yang baik bahawa apapun jenis pekerjaan yang halal perlu dilakukan walaupun berat dan susah.

Nabi Muhammad juga menunjukkan contoh baik dalam usaha mencari rezeki. Baginda melakukan usaha berniaga dan berternak untuk mencari rezeki. Sedangkan Baginda boleh hidup mewah dan senang jika menggunakan perbendaharaan negara.

Tidak dinafikan ramai berusaha mencari kesenangan hidup, tetapi tidak pernah tercapai. Semakin diusahakan seperti semakin jauh daripada kejayaan. Jika keadaan ini berlaku, maka barulah kita berbalik kepada asas Qada dan Qadar.

Terimalah kegagalan itu sebagai ketentuan Allah dengan penuh kesabaran dan hikmat. Sesungguhnya hanya Allah mengetahui di sebalik sesuatu kejadian itu.  Orang yang sabar tetap menerima pembalasan baik di akhirat nanti.

Sebaliknya mereka dilimpahkan kekayaan oleh Allah, jangan pula lupa diri. Kekayaan merupakan ujian daripada Allah. Barangsiapa yang bersyukur, maka akan ditambahkan lagi nikmat-Nya. Sebaliknya, mereka yang tenggelam dalam kekayaan, maka kekayaan itulah yang akan menjadi bahan bakar di akhirat nanti.

Firman Allah bermaksud: “Iaitu pada hari yang dipanaskan (harta) dalam neraka, lalu diseterika atas dahi, rusuk dan punggung mereka sambil dikatakan: Inilah apa yang kamu timbun untuk dirimu, maka rasakanlah apa yang kamu simpan (timbun) itu.” – (Surah at-Taubah, ayat 35)

No comments:

Post a Comment