Kisahnya,
sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan
tegap dan kuat lalu di hadapan mereka. Maka para sahabat pun berkata: Ya
Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah.
Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya:
“Jika
lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang
masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang
tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisibillah. Mencari rezeki untuk dirinya
sendiri supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabillah. Tetapi, jika
dilakukan kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai
fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).”
- (Hadis riwayat Thabrani).
Islam
menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup kerana dengannya
Islam mampu berkembang, dipandang tinggi dan dipertahankan jika terdapat
ancaman. Umat Islam yang dapat memenuhi keperluan hidup dapat menjalankan tugas
dengan sempurna dan berbakti kepada Allah. Maka itu mencari rezeki tuntutan
agama.
Firman Allah bermaksud: “Dan carilah
kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah
pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.” – (Surah al-Qashash, ayat 77).
Sesungguhnya
kemiskinan perlu dielakkan kerana ia akan membawa seseorang, kaum maupun negara
kepada keadaan berterusan ditimpa malang. Si miskin dengan mudah diperdaya,
ditindas, dipermainkan, dihina dan segala macam perlakuan buruk oleh golongan
berkuasa dan kaya yang mengambil kesempatan daripada kelemahan si miskin.
Segala
bentuk keadaan mendatangkan keburukan itu perlu dijauhi. Maka caranya
berusahalah meletak martabat diri pada kedudukan lebih baik. Lakukan usaha yang
mampu memberi pendapatan yang secukupnya bagi memenuhi keperluan hidup.
Nyata
sekarang ini umat Islam di seluruh dunia mudah ditindas dan ‘dibeli’ oleh kuasa
asing disebabkan kemiskinan. Rata-rata negara Islam berada pada paras
kemiskinan. Kemiskinan ini secara langsung memperlihatkan kelemahan umat Islam.
Tiada bukti yang boleh ditunjukkan oleh umat Islam kepada penganut agama lain
tentang kebaikan dan kejayaan Islam.
Justeru
itu, kemiskinan dalam bentuk apapun perlu dibasmikan dan diatasi sepenuhnya di
kalangan umat Islam. Usaha perlu dilipat gandakan agar setiap individu mampu
memenuhi keperluan asas hidup mengikut kemampuan masing-masing. Rezeki tidak
akan datang dengan sendirinya tanpa kita melakukan sebarang usaha untuk
mendapatkannya.
Manusia
dibekalkan tenaga dan fikiran untuk membolehkan dilakukan sesuatu usaha bagi
mencari rezeki. Sesungguhnya Allah telah menjadikan segala isi dunia ini adalah
untuk dimanfaatkan oleh manusia mengikut peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan.
Kekayaan
dan kebahagiaan di dunia merupakan anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Firman
Allah bermaksud: “Dia (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di
dunia.” – (Surah al-Baqarah, ayat 29). Dalam surah sama firman-Nya bermaksud:
“Tidak ada dosa atas kamu untuk mencari rezeki dari Tuhanmu.” – (Surah
al-Baqarah, ayat 198).
Kerana
mencari rezeki atau kekayaan merupakan tuntutan Islam, maka Allah melebihkan
darjat mereka di antara hamba-hamba lain di dalam urusan kehidupan di dunia dan
akhirat. Kemuliaan orang kaya dicapai jika mereka membelanjakan harta dimiliki
ke jalan kebaikan seperti mengeluarkan zakat, sedekah, menolong sesama umat dan
sebagainya.
Rasulullah
bersabda bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya
tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta
dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah
dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” – (Hadis riwayat Thabrani).
Kemiskinan
yang tidak ditangani dan dibiarkan terus merebak dalam masyarakat berpotensi
menjadi bom jangka sosial yang dapat menghancurkan maruah individu, masyarakat
maupun negara. Kerajaan atau negara boleh runtuh disebabkan kegagalan
menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat.
Sikap
prihatin terhadap bahaya kemiskinan memang beralas. Sesiapa yang berada di
dalam keadaan miskin yang teramat sanggup melakukan apa untuk mendapat sesuap
nasi. Mula-mula sekadar mengisi perut, kemudian menjadi satu perbuatan yang
keterlaluan sehingga menjadi ‘profesion’ mendatangkan malapetaka kepada
masyarakat.
Terdapat
golongan miskin yang tempat tinggal dan makanan mereka lebih rendah taraf dan
mutunya daripada apa yang dirasai oleh haiwan peliharaan. Sekarang makanan
haiwan peliharaan lebih mahal harganya daripada hidangan orang miskin. Justeru
itu, dimanakah letaknya martabat manusia sebagai sebaik-baik kejadian.
Tidak
siapa pun di dunia ini ingin hidup dalam kemiskinan dan menderita. Bagaimanapun
ada bersikap negatif dalam usaha mengatasi kemiskinan dialami. Mereka
menganggap kemiskinan dialami sebagai nasib ditentukan Qada dan Qadar yang
mesti dipercayai dan diterima dengan penuh reda.
No comments:
Post a Comment