Sesungguhnya
Allah melebihkan rezeki terhadap golongan kaya dan adanya golongan miskin
mempunyai hikmah tersendiri. Allah menjelaskan tentang Dia melebihkan rezeki di
antara hamba-hamba-Nya.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Dan Allah telah melebihkan rezeki seseorang dari yang
lain.” - (Surah an-Nahl, ayat 71).
Wujudnya
golongan kaya dan miskin bertujuan melengkapkan satu sistem hidup manusia yang
saling memerlukan di antara satu sama lain. Tidak ada golongan kaya tanpa
adanya golongan miskin.
Kekayaan
dimiliki golongan kaya tidak mendatangkan apa-apa makna jika tidak ada golongan
miskin yang sanggup berkhidmat untuk kemudahan golongan kaya. Harta hanya
memberi kebaikan jika ia dapat digunakan.
Hakikatnya,
harta adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya yang berusaha mencarinya. Sesiapa
yang berusaha, maka dia beroleh apa yang diusahakan.
Kurniaan
Allah tidak memilih sama ada hamba itu taat atau ingkar. Hal ini tanda
kemurahaan rahmat Allah yang tidak terbatas hanya kepada orang beriman
sahaja.
Jika
Allah hanya memberi rezeki kepada hamba yang mentaati perintah-Nya, sudah pasti
tiada orang tidak beriman dapat meneruskan hidup di muka bumi ini. Allah
menjadikan bumi ini sebagai ladang untuk semua manusia mendapat kebaikan tanpa
mengira seseorang itu beriman atau tidak.
Harta
adalah ujian daripada Allah. Sangkaan mengatakan apabila mendapat kemewahan
tanda Allah menyukai dan jika disempitkan rezeki dikatakan Allah membencinya, tidak
menepati hal sebenarnya.
Firman
Allah bermaksud: “Ada manusia ketika diuji Tuhannya dengan memberi kepadanya
kemuliaan dan nikmat (yang mewah), maka dia akan berkata (megah): “Tuhan
memberi kemuliaan kepadaku. Tetapi, apabila dia diuji Tuhannya dengan
menyempitkan rezekinya, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memberi kehinaan
kepadaku” - (Surah al-Fajr, ayat 15 - 16).
Sesiapa
dilebihkan rezekinya, diuji sama ada dirinya bersyukur dan menggunakan rezeki
itu untuk kebaikan atau sebaliknya.
Firman-Nya
dalam surah Ibrahim, ayat 7 bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti
Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),
maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Manakala
si miskin diuji adakah dirinya dalam keadaan reda dan bersabar dengan ketentuan
Allah terhadapnya. Si miskin perlu berusaha lebih gigih untuk mendapat rezeki
dan tidak mudah berputus asa.
Sesiapa
lebih banyak diuji dengan kesusahan, sedangkan dia tetap sabar dan terus
berusaha, Allah menyediakan baginya keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Keberkatan
hidup tidak dinilai melalui kekayaan semata-mata, tetapi juga dilihat dari
sudut ketenangan hati dan fikiran.
Sekiranya
kekayaan menjadi ukuran Allah menyukai seseorang, sudah pasti Qarun menjadi
orang paling disayangi Allah. Sedangkan hal sebaliknya di mana Qarun telah
mendapat pembalasan ditelan oleh bumi bersama-sama hartanya. Qarun adalah salah
seseorang yang mendapat laknat Allah di dunia dan di akhirat.
Ramai
di kalangan para sahabat Rasulullah adalah golongan miskin. Malah Rasulullah
sendiri mengamalkan hidup serba kekurangan. Tetapi, kedudukan miskin di dunia
tidak sekali-kali menjadi tanda dibenci Allah.
Ramai
sahabat yang dijanjikan syurga, walaupun hidup di dunia dalam keadaan miskin. Balasan
syurga ditentukan keimanan dan ketakwaan, bukannya kekayaan.
Walaupun
kaya dan miskin ditentukan Allah, hakikatnya ia berdasarkan apa yang diusahakan
oleh manusia sendiri. Setiap makhluk yang dicipta oleh Allah telah ditetapkan
rezeki yang mencukupi baginya.
Bagaimanapun,
rezeki itu tidak datang bergolek jika tidak diusahakan. Setiap orang wajib
berusaha mencari untuk dirinya dan ahli keluarganya.
Allah
lebih menyukai orang beriman yang kaya berbanding orang beriman yang miskin. Maka
itu mencari kekayaan bukan ditegah dalam agama, bahkan amat digalakkan. Kekayaan
dapat digunakan untuk menyempurnakan keperluan hidup dan membantu sesama Islam.
Islam
amat menggalakkan setiap umatnya mencari keperluan hidup dengan keupayaan
sendiri. Amalan meminta sedekah atau meminta pertolongan orang lain tidak
disukai Rasulullah. Selagi dapat berusaha sendiri, wajib dilakukan untuk
mengelak daripada meminta-minta.
No comments:
Post a Comment