Tuesday, 31 July 2018

MENGAPA WAJIB BASMI KEMISKINAN

Kaya dan miskin merupakan dua sunah kehidupan. Kedua-dua golongan ini mewarnai kehidupan dengan ragam dan ketentuan masing-masing. Allah menjadikan kaya dan miskin dengan hikmah untuk manfaat antara keduanya dan cabaran yang perlu dihadapi berbeza-beza.

Si kaya mendapat kesenangan hidup diuji dengan kesyukuran. Apakah mereka menggunakan kekayaan tersebut untuk melaksanakan perkara disuruh dan menjauhkan perkara ditegah. Si kaya yang bersyukur menggunakan kekayaan dengan bersedekah dan untuk kebajikan. Allah melipatgandakan rezeki dan kesenangan kepada orang bersyukur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Si miskin diuji dengan kesabaran menghadapi segala kesushan dan kesempitan hidup. Namun, bagi si miskin bukan setakat itu sahaja ujian perlu ditempuhi. Mereka perlu berusaha untuk keluar daripada kehidupan miskin. 

Kemiskinan bukan takdir terhadap mereka. Sebaliknya, kemiskinan merupakan cabaran yang perlu dibasmi dengan bersungguh-sungguh. Islam memandang berat soal kemiskinan yang perlu dibasmi. 

Kemiskinan merupakan bom jangka yang jika tidak diatasi dengan berkesan bakal mencetuskan keadaan huru hara dalam masyarakat dan negara. Banyak bangsa dan negara hancur disebabkan masalah kemiskinan. Malah dijelaskan oleh Rasulullah bahawa kemiskinan menghampirkan seseorang kepada kekufuran. 

Islam agama syumul mementingkan dalam semua aspek kehidupan, termasuklah soal mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia. Suruhan mencari kebahagiaan hidup di dunia banyak dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.

Salah satu ayat al-Quran berkaitan menyuruh mencari kebahagian hidup di dunia ialah ayat 77 surah al-Qasas bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagiaan akhirat, tetapi jangan lupa bahagianmu (keperluan dan bekalan) di dunia ini.”

Manakala firman-Nya lagi bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat.” - (Surah al-Jumaah, ayat 10).

Jelaslah usaha mencari rezeki merupakan tugas penting yang perlu dilaksanakan segera dan bersungguh-sungguh. Urusan sembahyang dan ibadat didahulukan, tetapi tugas mencari rezeki perlu disegerakan. 

Rezeki dan kekayaan tidak akan datang bergolek dengan hanya menadah tangan memohon kepada Allah. Sebab itu, selesai sahaja melakukan ibadat wajib, maka segeralah keluar untuk urusan kehidupan.     

Dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan tugas mencari rezeki halal adalah fardu selepas fardu sembahyang. Hadis tersebut memberi gambaran betapa perlaksanaan mencari rezeki diutamakan lebih daripada ibadat-ibadat lain.

Perkara ini tidak sukar untuk difahami. Perlaksanaan Rukun Islam seperti zakat dan mengerjakan haji, biarpun wajib dilaksanakan, ia bergantung kepada kemampuan kewangan dan syarat-syarat lain. Jika umat Islam ingin melaksanakan kedua-dua rukun itu, maka tidak dapat tidak mereka terlebih dahulu perlu mencari rezeki.   

Pertalian ibadat zakat dan haji dengan urusan mencari rezeki secara tidak langsung menggalakkan setiap Muslim gigih mencari kekayaan. Dengan kata lain, Islam menghubung kaitkan ibadat dan kekayaan. Sesiapa ingin menyempurnakan kelima-lima Rukun Islam, maka dia mesti mempunyai kekayaan.

Sebenarnya tidak ada agama atau sistem yang lebih sempurna daripada Islam dalam membincangkan soal keduniaan yang dihubungkait dengan kehidupan akhirat. Islam mentakrifkan mencari rezeki atau bekerja sebagai satu ibadat.

Ia membuktikan betapa pentingnya mencari rezeki di mana kebaikannya diperolehi untuk dunia dan juga ganjaran pahala untuk kehidupan di akhirat.

Justeru, melakukan sebarang usaha untuk mencari rezeki disamakan jihad ke jalan Allah. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah berdasarkan kepada satu peristiwa. Kisahnya, sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat lalu di hadapan mereka. Maka salah seorang sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah.”

Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah. Mencari rezeki untuk dirinya supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika dilakukan kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).” - (Hadis riwayat Tabrani).

Melakukan sesuatu yang bermaksud fisabilillah merupakan seutama-utama amalan sebagai hamba-Nya. Dalam hal ini ternyata tugas mencari rezeki merupakan sebahagian daripada amalan utama dan diberi balasan sebaik-baiknya di sisi Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” - (Hadis riwayat Tabrani).

Galakan yang diberikan itu membuktikan Islam amat mementingkan kekayaan dan kesejahteraan hidup umatnya. Ia sama sekali bertentangan dengan pendapat yang diutarakan oleh pemikir Barat yang menuduh Islam sebagai agama kaku dan anti pembangunan. 

Pemikir Barat tidak memahami intipati Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis. Justeru, anggapan mereka terhadap Islam sudah pasti tersasar dari hakikat sebenar. Kesalahan ini perlu diperjelaskan agar Islam tidak selalunya dimomokkan.

Dalam al-Quran dan hadis jelas banyak membincangkan soal tuntutan mencari rezeki, urusan perniagaan, penggunaan sumber tenaga, pengagihan kekayaan, pembendaharaan negara, tolong menolong dalam pembangunan ekonomi dan sebagainya.

Segalanya itu memberi garis panduan yang perlu dipatuhi untuk menjamin kejayaan dan kesejahteraan umat Islam, serta kelompok manusia lain yang berhubungan dengan umat Islam. Hukum dan ketetapan Islam tidak hanya untuk kebaikan umat Islam, bahkan ia merangkumi semua yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung.

Rasulullah bertanggungjawab secara langsung membimbing seluruh umat manusia menjalani kehidupan berdasarkan kepada konsep mengapa manusia diciptakan oleh Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia sepertimana fitrah yang ditetapkan oleh-Nya.

No comments:

Post a Comment