Monday, 23 November 2020

SOP BERBEZA SETIAP FASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Bermula 16 Mac 2020, rakyat Malaysia mula diterjah dengan satu istilah yang tidak pernah didengari sebelum itu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tanggapan pertama rakyat mengenai PKP ialah ‘dadurat’ yang akan mengawal atau menyekat pergerakan mereka.

Bagaimanapun, perkara ini beransur-ansur difahami oleh rakyat apabila Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap hari tampil melalui Sidang Media Khas Harian Covid-19 memperjelaskan apa sebenarnya PKP dan menjawab sebarang kekeliruan yang dikemukakan oleh rakyat.

Saban hari, Ismail Sabri secara berhemah memperjelaskan perkara yang berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh rakyat.

Ironinya, disebabkan PKP ada fasa atau peringkat yang berbeza, maka SOP yang berkaitan juga berlainan. Nama dah fasa berbeza, maka SOP pun kenalah berlainan. Kalau sama SOP, tidaklah perlu ada fasa berbeza.

Elok kita mengingati semula pengumuman dan perlaksanaan berkaitan PKP.  

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassim mengumumkan seluruh negara akan dikenakan PKP bermula 18 Mac 2020 selama dua minggu sebagai langkah mengawal wabak Covid-19. Pada 25 Mac 2020, Muhyiddin membuat pengumuman bahawa PKP dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April 2020.

Sepanjang PKP, hampir semua aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, sukan, keagamaan perlu mengikuti SOP ketat dan ada yang tidak dibenarkan langsung.

Setelah melalui PKP selama 5 siri, bermula 4 Mei 2020, kerajaan memperkenalkan pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekali gus semua peraturan di bawah PKP sebelum itu terbatal secara automatik.

PKPB mengikut SOP yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa.

SOP PKPB agak longgar berbanding PKP, yang memberi ruang pergerakan dan aktiviti lebih terbuka, tetapi masih perlu mengikuti SOP yang ditetapkan.

PKPB berakhir pada 9 Jun 2020 dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020, yang kemudiannya dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

Sepertimana yang telah diumumkan oleh Ismail Sabri, perkhidmatan gunting rambut dan salun dibenarkan ketika PKPP. Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga dibenarkan.

Selain itu, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan. Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

Turut dibenarkan sepanjang PKPP ialah mesyuarat dan bengkel j dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

Dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP. Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

Bermula 1 Julai 2020, kerajaan mengumumkan membenarkan penganjuran majlis sosial merangkumi kenduri, majlis perkahwinan, ulang tahun perkahwinan, majlis keagamaan seperti tahlil, aqiqah, dan doa selamat, majlis-majlis seperti reunion, hari jadi dan lain-lain

Seluruh negara dianggap sebagai berada dalam ‘mood’ PKPP sehingga 31 Disember 2020, melainkan ada perintah lain dikeluarkan untuk kawasan-kawasan tertentu yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Sebagai contohnya, bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020, seluruh Semenajung, kecuali Kelantan, Perlis dan Pahang diiystiharkan kawasan PKPB. Sebelum ini Sabah dan beberapa kawasan di Selangor telah dikategorikan kawasan dikenakan PKPB, dan terdapat juga yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagaimanapun, bermula 21 November 2020, seluruh Kelantan pula diiystiharkan PKPB. Ini bermakna hanya dua negeri di Semenanjung kekal dalam PKPP bermula dari mula diperkenalkan pada 10 Jun sehingga sekarang.

Jadi, rakyat perlu mengetahui tentang status PKP di kawasan masing-masing sama PKPP, PKPB atau PKPD, kerana setiap status itu mempunyai SOP yang berlainan.

Cara mudah, tepat dan sahih mengenai status dan SOP yang terkini dikuatkuasakan, rakyat disaran mengikuti Sidang Media Khas Harian Covid-19 oleh Ismail Sabri.


No comments:

Post a Comment