Wednesday, 20 April 2022

MARAH BANYAK MENDATANGKAN KEBURUKAN

 
Perasaan marah tergolong sifat muzmumah yang mendatangkan banyak keburukan. Imam Ghazali membahagikan marah kepada tiga kategori. Pertamanya cepat marah tetapi cepat hilang marah. Kedua, lambat marah dan lambat redanya. Manakala ketiga ialah lambat marah tetapi cepat hilang marah. Maka, kategori ketiga lebih terpuji. 
 
Menahan marah dan memaafkan bukan perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43). 
 
Perasaan marah sifat semula jadi manusia. Marah ada tempatnya, iaitu mengikut kadar paling minimun. Perasaan marah memang tidak boleh dibuang terus dari dalam diri. Apa yang mampu dilakukan ialah menahan ia daripada merebak hingga membinasakan diri. Jika dizahirkan kena pada tempatnya, marah mendatangkan kebaikan. 
 
Perasaan marah timbul apabila ada perkara tidak diingini berlaku pada diri. Kena tipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan sebagainya boleh menimbulkan perasaan marah. Kemarahan dizahirkan melalui perkataan, mimik muka, perbuatan atau perlakuan. 
 
Justeru, perasaan marah mainan hati yang sifatnya selalu berbolak-bolak mudah mendorong perbuatan negatif. Tindakan balas dilakukan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. Kemarahan yang kecil merebak bertambah besar. Keadaan tidak ubah minyak tanah disimbah kepada api. 
 
Api kemarahan yang tidak dikawal mudah menguasai seluruh badan. Mata menjadi merah, perasaan tidak menentu, urat leher timbul, gigi dikacip, bahagian badan mengelentar dan segala sifat ‘luar biasa’ akan lahir. 
 
Perasaan marah mengundang syaitan bertapak di dalam hati. Syaitan menghasut keadaan lebih marah dan melakukan tindakan lebih buruk. Kemarahan mendorong perasaan permusuhan dan pembalasan. Perasaan membenci, tidak puas hati memenuhi ruang fikiran. 
 
Hal demikian semua ditegah oleh agama. Perpaduan umat menjadi musnah dan kejayaan Islam dinafikan. Perkara ini boleh berlarutan dalam tempoh lama selagi tiada kemaafan lahir dalam diri.

No comments:

Post a Comment