Air Terjun Lata Berangin, terletak
di Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Pas, Kuala Krai, Kelantan.
Kawasan ini telah lama
dijadikan tempat istirahat di kalangan penduduk setempat. Namun, kini ia
semakin dikenali dan mendapat kunjungan bukan sahaja dari penduduk setempat, pengunjung
dari luar yang mengetahui tentang keindahannya.
Lata Berangin boleh
dikunjungi sama ada melalui Guchil - Batu Balai - Kampung Mengkebang - Kampung
Sungai Pas atau melalui Kampung Pahi - Kampung Sungai Pas. Jaraknya kira-kira
18 kilometer dari bandar Kuala Krai.
Lata Berangin yang
mempunyai air setinggi 120 meter menjadi tarikan pengunjung. Kolam yang
terdapat di kawasan tersebut selamat untuk bermandi-manda.
Kawasan Air Terjun Lata
Berangin juga sesuai dijadikan sebagai tempat perkhemahan secara berkumpulan.
Air terjun ini dikatakan
diberi nama Lata Berangin kerana angin yang terdapat di kawasan kolam utama air
terjun tersebut.
Udara di kawasan Lata
Berangin ini sangat nyaman dan sesuaI untuk dijadikan sebagai destinasi riadah
bersama keluarga.
Panorama yang terdapat di
Lata Berangin ini juga tidak kurang hebatnya. Terdapat pelbagai spesies flora
dan fauna yang menghiasi alam sekeliling yang tidak jemu mata memandang.
Suasana di Lata Berangin
ini juga tenang dan jauh dari kesibukkan bandar. Di sini juga merupakan tempat
yang sangat sesuai bagi mereka yang ingin merehatkan minda khususnya bagi
mereka yang ingin melepaskan diri daripada bebanan kerja dan tekanan hidup di
bandar.
Sebelum ini, Lata Berangin
lebih dikenali sebagai tapak mini hidro elektrik. Namun, jana kuasa itu kini
tidak berfungsi lagi. Ia sekaligus menjadikan tempat itu terbuka kepada semua
pengunjung.
Malah, aliran air yang
dulu separuh daripadanya dialirkan melalui pembentung kini sepenuhnya menjadi
air terjun yang mengalir cantik. Masalah kekurangan air terjun kini tidak
berlaku lagi apabila tidak perlu berkongsi dengan pembentung.
Tapak perkelahan Lata
Berangin telah dibangunkan dengan pembinaan jalan berturap, tandas, tempat
letak kereta, tangga konkrit turun ke sungai dan beberapa kemudahan lain.
Kemudahan yang disediakan itu menjadikan tempat itu lebih menarik dan memberi
keselesaan kepada pengunjung.
Sumber air dari puncak
tersembur keluar dengan laju turun menghempas batuan pejal membentuk satu
pemandangan yang cantik. Ia melalui satu lurah batu sebagai laluan utama,
selain ada laluan kecil dari beberapa arah. Namun, apabila hampir sampai ke
bawah, ia bersatu membentuk satu laluan air terjun saja dan terus masuk ke satu
kawasan.
Sunggupan kawasan itu
berada di luruh dalam yang di kelilingi dinding batu pejal dan bukit,
suasananya sungguh nyaman dengan tiupan angin.
Di tempat di mana berakhir
air terjun, terdapat sebuah kolam sederhana besar. Ia sesuai dijadikan tempat
untuk berenang dan melakukan aksi terjun. Bagaimanapun, dinasihatkan kepada
pengunjung yang tidak tahu berenang tidak mandi di kolan itu disebabkan ia agak
dalam berbahaya.
Pun begitu, pengunjung
boleh mandi manda di kawasan air cetek yang selamat, termasuk kanak-kanak,
asalkan tidak masuk ke kawasan air dalam di tempat air terjun.
Airnya yang dingin, jernih
dan mengalir menjadikan aktiviti mandi manda begitu menyeronokkan. Ia sesuai
dijadikan aktiviti berkeluarga kerana semua orang boleh terlibat
sama.
Jika tidak mandi manda,
anda boleh beristirahat di kawasan berbatu di tepi sungai. Rehatkan diri anda
bersama keluarga sambil menikmati suasana damai dengan melepaskan pandangan ke
air terjun yang berkejaran menghempaskan diri ke batu-batu pejal.
Diharapkan Lata Berangin
akan terus dimajukan dan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan terkenal di
Kuala Krai.
Kredit gambar: Fazliyaton
Daudmashitah
No comments:
Post a Comment