Thursday, 19 May 2022

USAHA ATASI MASALAH SOSIAL DI KALANGAN BELIA

  
Masalah sosial di kalangan belia semakin meruncing. Isu-isu sosial dipaparkan di media antara lain melibatkan kegiatan buli, merempit, dadah, kongsi gelap, mengandung anak luar nikah dan sebagainya banyak melibatkan golongan muda. 
 
Amat mendukacitakan perbuatan itu majoritinya dilakukan golongan muda Melayu. Kita terfikir di manahkah nilai-nilai agama yang diterapkan dalam diri remaja Islam yang mana perbuatan itu bukan saja terkeluar dari nilai diingini masyarakat dan negara, tetapi lebih-lebih lagi agama Islam. 
 
Islam mencegah umatnya daripada melakukan perbuatan mendatangkan keburukan. Islam mendidik umatnya melakukan perkara baik yang mendatangkan kebaikan dan mencegah berlaku kesan negatif. 
 
Masalah berlaku disebabkan orang Melayu kini semakin hilang pedoman dan jati diri. 
 
Sejak sedekad lalu, kesopanan dan nilai murni yang sering diterapkan dalam diri setiap lapisan masyarakat khususnya remaja dilihat semakin hilang ditelan zaman. Hal ini berlaku berikutan perkembangan arus teknologi tanpa sempadan yang sedikit sebanyak telah menghapuskan warisan Melayu. 
 
Remaja kini dilihat bebas mengakses laman-laman web pornografi menerusi media sosial apatah lagi tanpa pengawasan ibu bapa dan orang dewasa. 
 
Selain itu, latar belakang agama juga dikenal pasti punca remaja terdorong melakukan maksiat dan sebagainya. Hal itu disebabkan sesetengah keluarga Islam dilihat cenderung menerapkan unsur-unsur Barat dalam kehidupan seharian dan pergaulan bebas adalah perkara biasa bagi mereka. 
 
Masalah keruntuhan akhlak remaja ini bukan perkara kecil dan jika tidak ditangani mereka akan menjadi liabiliti kepada negara pada masa depan. Siapa akan meneruskan legasi kepemimpinan negara jika bukan mereka? 
 
Ingatlah, ini bukan masalah kecil yang boleh diselesaikan sekadar hanya menuding jari terhadap pihak-pihak tertentu. 
 
Tidak kurang juga sikap sesetengah pihak menyalahkan ibu bapa dalam mendidik anak. Untuk menangani masalah ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak. Selain itu, tiba masanya masyarakat memainkan peranan sewajarnya termasuk ‘menjaga tepi kain orang’. 
 
Perkara berkaitan itu ada dinyatakan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran yang bermaksud: 
 
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang yang beruntung.” 
 
Selain usaha serius dilakukan kerajaan dalam membendung gejala sosial yang semakin merebak dalam kalangan remaja Melayu itu, pengawalan ketat daripada ibu bapa juga penting dalam mendidik dan menerapkan budaya Melayu dalam diri permata hati mereka.

No comments:

Post a Comment