Sunday, 15 May 2022

MENGAPA MANUSIA PERLUKAN PASANGAN

 
Allah menjadikan setiap perkara berpasang-pasang. Kejadian manusia ada lelaki dan wanita. Ketika mulanya, hanya Nabi Adam mendiami syurga. 
 
Kehidupannya sunyi dan tidak bererti. Lalu Allah menjadikan Hawa sebagai pasangan. Melalui hubungan suami isteri Hawa melahirkan zuriat manusia yang kekal hingga kini. 
 
Sesungguhnya, hubungan seks antara suami isterimerupakan pengikat kasih sayang selain untuk melahirkan zuriat yang bersih dan menjalani kehidupan keluarga secara berkasih sayang. Justeru, urusan hubungan seks atau nafkah batin tidak boleh dipandang ringan. 
 
Soal seks sering membawa kepada masalah hubungan suami isteri hingga membawa kepada perceraian. Pasangan muda belum tentu tidak berdepan masalah hubungan seks.  
 
Banyak suami tidak kuat biarpun usia masih muda. Mereka berdepan dengan masalah tenaga batin berpunca cara hidup yang tidak sihat.   
 
Ada yang mengatakan, seks hanya penting ketika mula-mula berkahwin dan kemudian beransur-ansur dingin. Hal ini sebenarnya tidak betul. Pasangan suami isteri sebenar perlu kepada seks hingga lewat usia perkahwinan. 
 
Maka suami yang baik tidak akan berdepan dengan masalah tenaga batin untuk terus memberi nafkah batin kepada isteri.  
 
Pada masa sama, ada juga pihak yang mengatakan soal tenaga batin satu persoalan remeh-temeh, jijik, hina dan tidak perlu diperbincangkan. 
 
Ini kerana bagi mereka isu tenaga batin tak lebih daripada aktiviti berseronok saja sebagaimana yang berlaku pada haiwan-haiwan biasa. 
 
Sesungguhnyan, Islam menjadikan urusan seks suami isteri sebagai satu ibadat jika dilakukan mengikut apa yang ditetapkan oleh syariat. 
 
Sebab itu, sesiapa yang berkahwin dianggap sebagai telah menyempurnakan sebahagian perkara penting dalam kehidupan manusia.   
 
Rasulullah SAW sendiri telah bangkit menjelaskan hal kepentingan dan keutamaan berkahwin. Sabda Baginda bemaksud: “Akulah orang paling beriman dan bertakwa. Namun, aku juga tidur dan berkahwin, barangsiapa yang membenci sunnahku, dia bukanlah dari kalanganku”. (Hadis riwayat Muslim) 
 
Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kamu bersetubuh dengan isteri kamu, kamu akan mendapat pahala.” Para sahabat kehairanan lantas bertanya, takkanlah seorang datang memuaskan nafsu dengan isterinya pun dapat pahala?!, 
 
Rasulullah SAW dengan hikmah menjawab: “Benar, bukankah jika seorang itu memuaskan nafsunya dengan sesuatu yang haram tentulah baginya dosa, begitu juga dengan persetubuhan yang halal.” (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment