Masjid Ar-Rahman, Kampung
Pulau Gjaha, Mukim Pulau Gajah, Daerah Sering, Jajahan Kota Bharu, Kelantan,
menjadi bualan ramai kerana keunikan dan kehalusan seni bina Melayu, sekali gus
memukau setiap mata yang memandang.
Sesiapa yang ada peluang
elok singgah atau melawat Masjid Ar-Rahman Mukum Pulau Gajah. Elok pergi ketika
waktu awal waktu untuk bersama-sama jemaah lain menunaikan solat berjemaah.
Pergi pada waktu lain pun
tidak ada masalah. Kira melakukan ziarah sambil menghayati keindahan masjid tersebut.
Boleh bawa seisi keluarga. Santai dan tenang berada di rumah Allah.
Kalau keadaan diri suci dari hadas dan
kekotoran lain, elok menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Solat Tahiyatul Masjid adalah solat sunat sebanyak dua rakaat yang dilaksanakan sebaik
sahaja seseorang itu masuk ke dalam masjid, sebelum duduk atau melakukan
aktiviti lain.
Masjid Ar-Rahman memang ada
keunikan tersendiri. Dari reka bentuk luaran hingga perincian dalaman, setiap
butiran seni bina mencerminkan kedamaian dan ketenangan, malah binaan turut
dikelilingi hutan dan parit mewujudkan panorama semula jadi.
Melangkah masuk Masjid
Ar-Rahman cukup mengujakan apabila setiap langkah disambut pemandangan gerbang
besar yang dibina tinggi menggunakan kayu cengal.
Masjid Ar-Rahman mula
dibina pada awal 2016 dengan kos RM6 juta melalui peruntukan individu. Pelan
serta idea pembinaan juga cetusan penderma tersebut.
Permbinaannya bertujuan
untuk menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah. Masjid lama Pulau
Gajah tidak mampu menampung jemaah, terutama ketika sembahyang Jumaat.
Pembinaan masjid di atas
tapak seluas 0.8 hektar itu mengambil masa kira-kira dua tahun dan mampu
memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Khidmat 10 pekerja dari
Indonesia diguna pakai untuk menghasilkan lebih 90 peratus ukiran tangan pada
masjid. Separuh daripadanya ukiran ayat suci al-Quran.
Ciri-ciri binaan Masjid
Ar-Rahman ini, menggabungkan hiasan dari sekurang-kurangnya empat negara,
selain seni bina Melayu.
Dua pintu masuk masjid dari
Yaman, tiang tempat imam solat pula dari Maghribi. Set geduk berasal dari
Indonesia dan lakaran al-Quran dalam bulatan di tengah siling pula dibawa dari
Turki.
Individu yang membiayai
pembinaan Masjid Ar-Rahman ini sering merantau ke luar negara terutama
Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki memberi ilham seni reka Masjid Ar-Rahman.
Malah pintu kayu berusia
ratusan tahun yang dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran di hadapan tempat Imam
solat diimport dari Magribi.
Keunikan Masjid Ar-Rahman
tidak terbatas pada pandangan luar dan dalam bangunan, sebaliknya sudut
pandangan atas memberi gambaran lebih menarik seolah-olah masjid berada di sebuah
pulau kecil.
Pemilihan lokasi masjid
yang dikelilingi sungai dan rimbunan pokok turut memberi kelebihan apabila
menghasilkan udara nyaman dan sejuk kepada binaan itu, selain lokasi juga
terletak di hujung kampung.
Pengunjung boleh berehat di
wakaf yang dibina di tepi sungai sambil melihat ikan dan hidupan air lain. Di
satu sudut pula ada sangkar memelihara ikan yang memberi peluang pengunjung
melihat ternakan ikan dalam sangkar.
Tempat letak kenderaan yang
luas untuk kemudahan jemaah disediakan. Bumbung parkir pula dipasang panel
solar bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik.
Masjid diwakafkan kepada
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan pengurusannya
dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid.
Sekarang ini, banyak
pengunjung ke Pantai Nusuk yang terletak tidak jauh dari Masjid Ar-Rahman akan
singgah di masjid itu untuk menunaikan solat, mahupun sekadar melakukan lawatan
untuk melihat keindahan seni bina masjid.
No comments:
Post a Comment