Saturday, 7 January 2023

FAQIH ADALAH AHLI DALAM ILMU FIQAH

  
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barangsiapa dikehendaki Allah untuk mendapat kebaikan, maka Allah akan memberikan pemahaman kepadanya tentang agama." (Hadis riwayat Ibnu Majah No: 216)
 
Allah SWT yang menganugerahkan kebaikan kepada sesiapa yang dikehendaki.
 
Satu daripada ciri orang yang mendapat kebaikan ialah dia menjadi orang yang faqih atau memperoleh kefahaman terhadap agama menerusi al-Quran dan hadis yang dipelajari serta didasari dengan kebersihan hati dan aqidah yang sahih.
 
Faqih adalah orang yang ahli dalam ilmu fiqah atau bidang-bidang lain yang diiktiraf dalam pengajian Islam. Faqih juga bermaksud memahami agama dengan ilmu yang benar dan sahih.
 
Berusahalah kita menjadi orang yang belajar dan menguasai kefahaman agama berdasarkan al-Quran dan Hadis. Semoga dengannya kita menjadi taat kepada perintah Allah SWT.
 
Jangan sekali-kali kita berasa ego telah memiliki pengetahuan agama yang tinggi. Sikap ego dengan kebolehan sendiri adalah sifat iblis.
 
Iblis tidak mahu menerima kehendak Allah SWT ingin menjadikan Adam sebagai khalifah di muka bumi kerana berasa dirinya lebih hebat berbanding Adam.
 
Iblis dijadikan daripada api, sedangkan Adam dicipta daripada tanah. Iblis berasa dirinya lebih mulia dan layak menjadi khalifah di muka bumi.

Berhati-hatilah dengan orang yang berlagak alim dan menggunakan sedikit ilmu yang dimiliki untuk menyalahkan dan menghentam orang lain. Meraka ini penunggang agama. Menjadikan agama alat untuk meraih kepentingan diri.

Pengetahuan agama yang dimiliki sepatutnya menjadikan kita lebih dekat dengan Allah, lebih takut kepada Allah. Bukannya menjadikan kita lebih sombong berasa diri lebih hebat berbanding orang lain.  
 
Gambar - Pokok duit-duit - sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment