Thursday, 5 January 2023

MENGAPA PENTING DAMPINGI SAHABAT YANG BAIK

  
Apabila anda ingin membaiki diri, anda perlu mendampingi rakan yang baik. Pesakit mesti bersama doktor. Jika hanya bersama pesakit sepertinya, mereka akan saling mengeluh dan putus asa.
 
Selain itu, seseorang insan dinilai keperibadiannya berdasarkan siapa yang menjadi sahabatnya. Jika kita mampu menjadi sahabat yang baik, maka kita membawa kebaikan buat sahabat di sekeliling kita.
 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya. Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat." (Hadis riwayat Abu Daud)
 
Hadis ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sahabat memberi pengaruh yang besar dalam penilaian keperibadian seseorang.
 
Saranan hadis itu tidak bermakna kita hanya boleh bersahabat dengan orang yang baik sahaja dan menjauhi orang yang kurang baik. Ini bersalahan dengan konsep dakwah dalam Islam.
 
Kita boleh bersahabat dengan semua golongan. Namun, jika kita mempunyai sahabat yang kurang baik akhlaknya, kitalah yang bertanggungjawab untuk membawanya ke arah kebaikan.
 
Sekiranya kita tidak mampu mengubahnya, jadi pastikan diri sendiri tidak terjebak dalam kemungkaran yang dilakukan oleh sahabat tadi.
 
Sesungguhnya sahabat saling memberi kebaikan, bukan membawa keburukan kepada sahabat.

No comments:

Post a Comment