Apa hukum sambut hari ulang tahun
kelahiran? Timbul perbincangan ini kerana ada pendapat ulama berkata: “Bukanlah menjadi
adat orang Islam merayakan pelbagai bentuk hari raya. Ini kerana dalam Islam
hanya ada dua hari raya sahaja; Aidilfitri dan Aidiladha.”
Merayakan hari ulang tahun kelahiran
bererti merayakan hari kelahiran seseorang, biasanya dengan mengadakan pesta
kecil bersama keluarga dan teman-teman. Hadiah sering diberikan pada orang yang
sedang berulang tahun, di samping ucapan selamat dan tentunya doa kebaikan
serta panjang umur.
Lalu, bagaimanakah Islam memandang perayaan
hari ulang tahun kelahiran ini? Para ulama berbeza pendapat tentang hukum
permasalahan ini.
Pertama, sebahagian ulama seperti Syekh Ali
Jumah, Syekh Salman Al-Audah, Syekh Amru Khalid, Lembaga Fatwa Mesir (Darul
Ifta Al-Mishriyyah), dan Lembaga Fatwa Palestina (Darul Ifta Al-Filasthiniyyah) mengatakan, merayakan hari ulang tahun diperbolehkan, dengan
syarat perayaan tersebut tidak melibatkan perbuatan yang diharamkan, seperti
bercampur dengan yang bukan mahram. Selain itu, ia tidak diiktikadkan sambutan
tersebut sebagai pegangan Islam atau sunah mahupun digalakkan.
Ulama yang mengatakan harus sambutan hari
ulang tahun kelahiran dengan alasan sambutan itu salah satu cara mengingat
nikmat kelahiran (kehidupan), dan satu momen melantunkan doa bagi orang yang
berulang tahun.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan
kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari
aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali” (Surah Maryam, ayat
33).
Pada ayat tersebut, Nabi Isa berdoa agar
diberikan limpahan kesejahteraan pada hari kelahiran, hari wafat, dan hari
kebangkitannya kembali. Dengan demikian, merayakan hari ulang tahun, disertai
lantunan doa agar orang yang berulang tahun diberikan umur panjang dan limpahan
kesejahteraan, diperbolehkan.
Selain itu, mereka juga berpedoman pada
hadis riwayat Abu Qatadah bahwa Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari Isnin.
Lalu baginda bersabda: “Itu adalah hari aku dilahirkan, dan hari aku diutus
sebagai Rasul atau diturunkan wahyu kepadaku.”
Pada hadis tersebut, Rasulullah SAW menjelaskan
alasan baginda berpuasa pada hari Isnin, bahawa hari itu merupakan hari
dilahirkan dan diutusnya Nabi.
Ertinya, hadis itu memberi isyarat bahawa
hari kelahiran seseorang merupakan hari yang penuh nikmat, sehingga wajib
disyukuri. Hadis itu juga memberi isyarat kebolehan merayakan hari-hari penuh
nikmat, seperti hari kelahiran.
Di samping itu, perayaan hari ulang tahun
masuk dalam kategori adat atau tradisi, bukan ibadah, maka tidak boleh dikategorikan
sebagai bidah. Kerana bidah itu hanya dalam urusan ibadah (agama) semata.
Imam Syathibi berkata: Bidah merupakan
ungkapan tentang cara baru dalam agama yang dibuat menyerupai syariat, dengan
mengikuti cara itu dimaksudkan untuk lebih bersungguh-sungguh dalam beribadah
kepada Allah SWT” (Ibrahim bin Musa Asy-Syathibi, Al-Itisham, juz I, h. 26).
Jika merayakan hari ulang tahun
diperbolehkan, maka menghadirinya dan memberikan hadiah serta ucapan selamat
kepada orang yang berulang tahun juga diperbolehkan, sebab merupakan bentuk
membahagiakan hatinya.
Membahagiakan hati orang lain disunnahkan
dalam Islam, sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah bermaksud: “Rasulullah
ditanya: “Amal apa yang paling utama?” Banginda bersabda, “Hendaknya kamu
membahagiakan saudaramu yang mukmin, melunasi hutangnya, atau memberinya
sepotong roti.” (Hadis riwayat Ibnu Syahin).
Manakala kelompok kedua ulama pula
mengatakan haram menyambut ulang tahun kelahiran. Mereka ini seperti Lembaga
Fatwa Arab Saudi (Al-Lajnah Ad-Da’imah Lil Fatwa) menyatakan bahwa merayakan
hari ulang tahun diharamkan.
Mereka berpedoman pada hadis riwayat yang
bermaksud: Dari Anas, ia berkata: Rasulullah datang ke Madinah, dan orang
Madinah memiliki dua hari raya di mana mereka bergembira. Lalu Rasulullah
bertanya: “Apakah dua hari ini?” Mereka menjawab: “Kami biasa bermain
(bergembira) pada dua hari ini sejak zaman Jahiliyah.” Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah menggantinya untukmu dengan dua hari raya yang lebih
baik darinya, yaitu hari raya Adha dan hari raya Fitri (Hadis riwayat Abu Daud).
Pada hadis di atas Nabi hanya menyebutkan
dua hari raya, yaitu hari raya Adha dan hari raya Fitri. Kerana itu, umat Islam
hanya diperbolehkan merayakan kedua hari raya itu semata, bukan yang lain.
Dengan demikian, merayakan hari ulang tahun
diharamkan, sebab tidak disebutkan dalam hadis di atas. Selain itu, mereka juga
berpedoman pada hadis riwayat Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Siapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk bahagian dari
mereka” (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Ulama kelompok ini juga menyatakan perayaan
hari ulang tahun merupakan tradisi orang Yahudi dan Nashrani. Seseorang yang
merayakan hari ulang tahun bererti telah meniru dan menyerupai kebiasaan
mereka, dan termasuk bahagian dari mereka. Maka, merayakan hari ulang tahun
diharamkan dalam Islam.
Berdasarkan kepada panduan atau pendapat
ulama seperti di atas, terpulanglah kepada anda untuk mengatakan harus atau
haram berdasarkan kepada pertimbangan akal yang waras.
No comments:
Post a Comment