Tawau terkenal sebagai lokasi mendapatkan
ikan yang murah, segar dan pelbagai jenis. Kedudukan Tawau yang berhampiran
dengan laut membuka peluang kepada penduduknya menjadikan aktiviti menangkap
ikan sebagai satu bidang mendatangkan pendapatan lumayan.
Ikan segar yang didaratkan di pelabuhan
perikanan sekitar Tawau ada yang dijual segar dan selebihnya pula dijadikan
ikan kering atau ikan masin. Ikan kering menjadi produk atau hasil laut yang
mendapat permintaan pengunjung ke Tawau. Ikan kering di Tawau bukan sahaja
murah tetapi juga banyak pilihan dan berkualiti.
Mereka yang ingin mendapatkan ikan masin
boleh berkunjung ke Pasar Tanjung, di tingkat satu. Ia beroperasi seawal jam 6
pagi dan menutup perniagaan pada 6 petang. Namun, jika masih ramai pelanggan
masa perniagaan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pembeli terutama yang
datang dari jauh.
Banyak pengunjung luar yang datang dari
Semenanjung, Labuan, Sarawak, pelancong asing malah penduduk Sabah dari daerah
lain tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar berkenaan untuk membeli
ikan kering sekiranya mereka datang ke daerah yang terletak di pantai timur
Sabah ini.
Antara jenis ikan kering yang dijual di
situ adalah ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis, ikan kerapu, ikan
tulai dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang sering mendapat
sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Ada pengunjung yang membeli ikan kering
sehingga ratusan ringgit. Bahkan ada yang membelanjakan ribuan ringgit untuk
membeli pelbagai jenis ikan kering untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai
cenderahati kepada saudara mara dan rakan apabila pula ke tempat masing-masing.
Sebagai mengiktiraf atau ikon kepada Tawau,
beberapa jenis ikan telah dijadikan replika yang dibina atau diletakkan di
tempat tumpuan ramai.
Antara lokasi ditempatkan replika ikan
ialah di Bulatan Pasar Tanjung, Bulatan Ikan Marlin (Jalan Persiaran) dan
Bulatan Majlis Perbandaran Tawau. Itu yang berada di dalam bandar Tawau. Banyak
lagi replika ikan yang dibina di seluruh daerah Tawau.
Replika ikan yang terletak di Bulatan
Majlis Perbandaran Tawau dianggap paling stategik kerana ia terletak di laluan
paling sibuk yang menyambungkan Jalan Persiaran, Jalan Dunlop, Jalan Tawau Lama
dan Jalan Kuhara.
Replika ikan di Bulatan Pasar Tanjung pula
menjadi tumpuan kepada pengunjung pasar tertutup terbesar di Malaysia. Manakala
replika ikan di Bulatan Marlin pula menjadi perhatian mereka yang singgah di
Taman Persiaran dan Taman Traulsen yang terletak di pinggir pantai.
Kampung Pasir Putih Baharu, Tawau
No comments:
Post a Comment