SYARAT DIBENAR DEDAH SIKAP BURUK ORANG LAIN
Perbuatan menceritakan keburukan seseorang
kepada orang lain amat dilarang dan berdosa besar. Namun, ada pengecualian atau
diharuskan berbuat demikian bertujuan untuk kebaikan. Dengan kata lain, ia bukan
bertujuan saja-saja suka menceritakan keburukan orang.
Keadaan yang dibenarkan contohnya
menceritakan mengenai sifat seseorang yang suka menipu. Kita menceritakan
sifatnya itu bertujuan agar orang lain berhati-hati dan tidak akan ditipu
olehnya juga.
Tetapi janganlah ditambah cerita mengenai
sifat lain pula. Contohnya, selain cerita sikapnya suka menipu, diceritakan
juga sifatnya suka minum arak. Ini kerana antara kedua-dua sifat itu tidak
mempunyai hubungan dan bukan untuk tujuan asal agar tidak ditipu.
Memandangkan betapa buruknya sifat
mengumpat, setiap individu wajib berusaha untuk mengelak diri daripada
melakukannya. Cuba jauhkan diri daripada berada di dalam suasana yang boleh
menyebabkan berlakunya mengumpat.
Semasa berbual-bual dengan rakan,
berbincanglah mengeni tajuk-tajuk berfaedah. Jika perbualan itu
melencong kepada maksud mengumpat, cepat-cepatlah menukarnya kepada topik lain.
Sekiranya terus mendengar umpatan biarpun
dicuba menukar tujuk perbualan, jika berkemampuan untuk menegurnya, lakukan
secepat mungkin agar ia tidak berterusan. Mereka yang mendengar umpatan tetapi
tidak melakukan usaha menghentikannya turut mendapat dosanya.
Jika tidak mampu melakukan tegahan, eloklah
tinggalkan saja tempat itu agar tidak terus memperoleh dosa. Dalam majlis yang
sukar untuk meninggalkannya, selemah-lemah iman ialah membantahnya dalam hati.
Semoga Allah melindungi kita daripada menerima dosa akibat perbuatan orang
lain.
Mengumpat diumpamakan penyakit dan ubatnya
ialah zikir. Perbanyakan zikir dapat menghindarkan diri daripada perbuatan
mengumpat.
Tidak ada untungnya mengumpat orang lain.
Apatah lagi jika kita sendiri tidak ada kaitan dengan orang itu yang boleh
memberi kesan kebaikan atau keburukan kepada kita yang berkaitan dengan cerita itu.
Maka sebab itu, cara terbaik untuk mengelak
daripada mengumpat ialah jangan mudah melihat keburukan diri orang lain.
Sebaliknya, belajarlah muhasabah diri sendiri dengan melihat kelemahan diri
sendiri. Tentunya kita tidak suka kelemahan yang ada pada diri kita menjadi
bualan orang lain.
Begitu juga orang lain, mereka juga tidak
mahu keburukan diri mereka dihebohkan kepada orang lain. Jika masing-masing
menjaga diri daripada perbuatan mengumpat, maka perbuatan yang banyak
mendatangkan keburukan kepada masyarakat itu akan terhindar.
Bersama menghindarkan diri daripada
perbuatan mengumpat untuk mengelak perbuatan dosa dan menjaga keharmonian dalam
masyarakat. Perasaan curiga dan berdendam mudah merebak dalam masyarakat yang
banyak mengumpat.
Masyarakat yang diwarnai dengan budaya
mengumpat akan hancur kerana tidak dapat dipastikan pihak mana yang betul.
Sikap berprasangka buruk menjadi berleluasa. Percakapan lebih banyak
membincangkan mengenai sikap buruk orang lain, berbanding menilai diri sendiri.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Jauhilah oleh kamu prasangka yang tidak baik, kerana sesungguhnya
prasangka tidak baik itu seburuk-buruk percakapan." (Hadis riwayat
Muslim)
No comments:
Post a Comment