Monday, 18 December 2023

NANAS MS16 HASIL KACUKAN TERBAIK

 
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melancarkan hibrid baharu nanas MS16 ((MARDI Sweet 16) yang disifatkan terbaik pernah dihasilkan negara. MS16 terhasil daripada kacukan induk nanas Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia yang dibangunkan selama 10 tahun oleh MARDI di stesennya di Pontian, Johor. Majlis penjenamaan rasmi dibuat pada 17 Disember 2023.
 
Keistimewaan MS16 adalah nanas yang lebih manis berbanding varieti manis lain, rangup dan tidak lidas, dengan purata berat 1.5 kilogram (kg) sebiji.
 
MS16 adalah varieti tahan panas selain toleran kepada penyakit reput teras bakteria yang lazimnya menjadi musuh utama pengusaha nanas di negara ini.
 
Hibrid MS16 itu dijangka mengubah industri nanas negara, terutama dengan kedudukan Johor sebagai lokasi pengeluar nanas terbesar negara dan sebahagian besar ladang nanas berada di Pontian.
 
Pengeluaran hibrid baharu nanas MS16 ini diharap dapat memperbaiki kedudukan Malaysia yang kini berada di kedudukan 22 pengeluar nanas terbesar dunia.Hibrid baharu nanas MS16 dijangka dipasarkan secara komersial di seluruh negara pada 2025.
 
Ujian penanaman nanas MS16 dimulakan di Pontian sejak 2014 bagi memastikan kaedah dan hasil terbaik nanas berkenaan dapat dituai dan dikomersialkan secara meluas.
 
Secara permulaan, MARDI telah menyerahkan 1,000 benih hibrid nanas MS16 kepada 12 pengusaha nanas di Pontian bagi memulakan penanaman nanas varieti ini secara besar-besaran. Dalam 13 bulan lagi, ia dijangka dapat dituai dan dipasarkan ke seluruh negara.

No comments:

Post a Comment