Tuesday 4 June 2024

KOR POLIS TENTERA DIRAJA SEDIA BERKHIDMAT

 
Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah ditubuhkan pada 12 November 1953 dan dikenali sebagai Polis Tentera Persekutuan dan diletakkan di bawah pemerintahan dan Pentadbiran Royal Military Police, British Army. Pasukan kecil ini ditugaskan khas untuk menyelenggarakan tatatertib Tentera Darat sahaja.
 
Sekarang ini Kor Polis Tentera Diraja telah berkembang dan memainkan peranan penting meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
 
Kor Polis Tentera Diraja bertanggungjawab terhadap undang-undang, peraturan-peraturan dan perintah-perintah tentera. Kecekapan Kor ini adalah selaras dengan cogan katanya "Sedia Berkhidmat".
 
Kewujudan rejiman, kompeni mahupun platun di formasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdasarkan kepada keperluan penugasan. Di setiap divisyen terdapat satu rejimen KPTD dan di setiap briged terdapat satu kompeni KPTD.
 
Terdapat pecahan tugas dalam Polis Tentera antaranya Cawangan Siasatan Jenayah, Cawangan Latih, Cawangan Trafik dan Istiadat, dan Cawangan Probos.
 
Tugas Cawangan Siasatan Jenayah (CSJ), Selain menyiasat kes-kes salah laku jenayah melibatkan anggota tentera, adalah menyediakan kertas siasatan salah laku anggota dan dibentangkan kepada Pegawai Undang-undang Formasi untuk dibuat pendakwaan di Mahkamah Tentera. Sekarang cawangan ini dikenali sebagai 48 CSJ dan diletakkan di bawah Markas Tentera Darat.  
 
Tugas Cawangan Latih ialah melatih anggota dan pegawai tentera yang dijalankan Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja yang terletak di Kem Genting Klang, Kuala Kumpur.
 
Manakala tugas Cawangan Trafik dan Istiadat pula adalah membuat tugas-tugas pengiring bermotosikal untuk orang-orang kenamaan dan Pemerintah Tertinggi Tentera.
 
Tugas Cawangan Probos pula meliputi tugas-tugas am kepolisan, menguatkuasakan undang-undang tentera mengikut Akta Angkatan Tentera 1972. Anggota Polis Tentera menjalankan tugas mengikut Seksyen 93 (5) Akta angkatan tentera 1972.

No comments:

Post a Comment