Bagi individu yang berkemampuan, sempena
Aidiladha disunatkan melakukan ibadat korban. Ibadat korban ialah menyembelih
binatang ternakan pada Aidiladha (selepas sembahyang sunat hari Aidiladha) atau
pada hari Tasyrid (11, 12 dan 13 Zulhijjah - hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah)
kerana ibadat kepada Allah.
Sesiapa melakukan korban tidak pada masa yang ditetapkan, maka tidak dianggap
melakukan ibadat korban. Menyembelih binatang bukan pada masa ditetapkan,
kemudian daging itu diagihkan kepada orang ramai, amalan itu dianggap sedekah
dan hadiah.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Baragsiapa menyembelih korban sebelum sembahyang
Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya. Barangsiapa
menyembelih korban sesudah sembahyang Hari Raya Haji dan dua khutbahnya,
sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadatnya, dan dia telah menjalankan
aturan Islam.” (Hadis riwayat Muslim).
Pada hari Aidiladha dan Tasyrik adalah hari kesyukuran dan kegembiraan untuk
umat Islam. Selain dianjurkan melakukan ibadat korban, pada hari-hari berkenaan
digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.
Bagi memastikan kegembiraan dan semua orang dapat menikmati hidangan makanan
yang disediakan, maka pada dua perayaan dan juga hari Tasyrik diharamkan
berpuasa.
Keutamaan mengerjakan ibadat korban sepertimana dinyatakan Rasulullah dalam hadis
bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang paling disukai Allah pada hari
Aidiladha selain daripada mengalir darah (menyembelih korban) dan sesungguhnya
(sembelihan) itu akan datang pada hari kiamat nanti berserta dengan tanduk,
kuku dan bulunya semua sekali. Dan sesungguhnya darahnya akan berada di suatu
tempat yang ditentukan Allah sebelum menitik ke bumi. Oleh itu ikhlaskanlah
hatimu dengannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi).
Antara jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta,
biri-biri, lembu, dan kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak. Biri-biri
hendaklah berumur lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah
berumur lebih daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban
mesti berumur lebih lima tahun.
Binatang yang ingin dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit
seperti carik daun telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit.
Binatang yang terlalu kurus juga tidak boleh dijadikan korban.
Dari Bara bin Azli, telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah
dijadikan korban, iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak
berlemak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).
Binatang korban itu hendaklah dari yang
terbaik seperti gemuk, sihat dan 'menarik'.
Tidak sah haiwan sembelihan korban yang
terdapat cacat cela dan aib termasuklah haiwan itu buta sekalipun hanya
sebelah mata. Justeru, penyembelihan haiwan tersebut tidak dianggap daging
ibadah korban namun masih boleh dimakan dan disedekah seperti dianggap
daging haiwan biasa yang disembelih.
Hal ini demikian kerana syarat haiwan
sembelihan korban mestilah tiada kecacatan ketara
seperti buta sebelah mata, terlalu kurus, sakit yang ketara, tempang kaki
yang ketara, terputus telinga atau lebih teruk daripada itu. Namun,
haiwan yang tidak ketara kecacatannya, seperti tidak terlalu kurus
mahupun tidak ketara tempangnya, maka sah untuk dijadikan haiwan
sembelihan korban.
Dalil pensyariatan ibadah korban bagi
mereka yang mampu berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu,
kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban
(sebagai bersyukur).” – (Surah al-Khauthar, ayat 2)
Sementara itu, haiwan korban mestilah
dipilih daripada yang terbaik dan tiada cacat cela berdasarkan hadis sahih
daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban ialah yang jelas buta
matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang
kurus kering tidak ada sum-sumnya”. (Hadis riwayat Abu Daud nombor 2802)
Para ulama bersepakat bahawa digalakkan
mencari yang terbaik dan sempurna dalam pemilhan haiwan korban. Mereka juga
bersepakat bahawa kecacatan yang disebut di dalam hadis di atas atau lebih
teruk dari keempat-empat kecacatan tersebut tidak sah untuk dijadikan binatang
korban (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/120)
Al-Nawawi menjelaskan jenis kecacatan yang
ketara pada binatang yang tidak menepati syarat-syarat korban: “Syarat haiwan
korban mestilah selamat daripada aib yang boleh mengurangkan dagingnya.
Maka tidak sah binatang yang sangat kurus, gila, putus sebahagian telinga,
tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak
terjejas yang sedikit aibnya begitu juga ketiadaan tanduk-tanduk, koyak
telinga, dan tebukan telinga menurut pendapat yang paling sahih. Menurut
pendapatku: Pendapat yang sahih dan yang dinyatakan dalam kitab al-Umm bahawa
tidak sah kudis yang sedikit” (Rujuk Minhaj al-Talibin wa
Umdatun Muftin fi al-Fiqh, 320).
Berdasarkan kenyataan di atas, haiwan yang tidak
jelas kecacatannya, seperti tidak terlalu kurus dan tidak ketara tempangnya, maka
sah untuk dijadikan haiwan sembelihan korban.
No comments:
Post a Comment