Friday, 10 May 2024

TANGANI ISU PENGHINA AGAMA DENGAN MATANG

 
Penghinaan kepada kalimat Allah dan apa-apa simbol agama hendaklah dibendung. Biarpun begitu orang Islam diseru agar bersifat lebih bersederhana dalam mendepani isu berkenaan. Jangan sekali-kali mudah hilang pertimbangan sehingga apa sahaja perkara yang mirip dengannya terus diambil tindakan melulu.
 
Islam mengajar supaya kita hidup dengan realiti. Pastikan penghinaan itu realiti, bukan sekadar imaginasi jauh seseorang, paranoid melampau ataupun tohmahan palsu terhadap sesiapa sahaja sama ada Muslim dan bukan Muslim.
 
Dilarang menuduh orang lain menghina simbol agama kalau tiada bukti mereka berbuat demikian. Kaedah yang disebut dalam al-Quran ialah tabayyun atau semak dan teliti sebelum sebar dan tuduh. Sikap berlebihan dalam berimaginasi dan paranoid.
 
Kalau menghina agama dilarang, menuduh orang menghina agama tanpa sebarang bukti juga dilarang. Malah implikasinya sama iaitu menimbulkan suasana panas yang tidak perlu dalam hubungan antara masyarakat majmuk. Banyak lagi perkara bermanfaat boleh diisi untuk kebaikan kita dan masyarakat.
 
Dalam negara yang penduduknya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, serta berbagai bangsa, isu agama dan kaum dianggap seperti bom jangka yang boleh mencetuskan pelbagai kemungkinan.
 
Jika ada penganut agama lain dianggap menghina Islam dan kemudian diambil tindakan melulu oleh muslim, maka konflik antara agama akan meletus. Satu keadaan tidak baik akan berlaku.  
 
Islam sangat melarang seseorang itu mencela agama lain. Hal ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganutnya dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam kembali.
 
Perbuatan mencela dan menghina sembahan agama lain, implikasinya Allah akan dihina dalam keadaan mereka marah dan jahil. Implikasi seterusnya ialah masyarakat berbeza agama akan hidup porak-peranda, saling bermusuhan dan menghina.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.” (Surah al-An‘am, ayat 108)
 
Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. 
 
Maka itu, setiap muslim perlu berpada-pada dalam menghadapi provokasi atau tindakan yang tidak jelas tentangnya, agar terhindar tindakan itu daripada mendatangkan kesan yang lebih buruk.
 
Dalam negara yang ada undang-undang dan peraturan melarang perbuatan menghina sesuatu agama, kaum dan budaya, maka jika ada yang melakukan perbuatan itu, maka serahkan perkara itu untuk tindakan pihak berkuasa. Hormati tandakan dan keputusan pihak berkuasa dalam soal tersebut.

No comments:

Post a Comment