Perhatikan kepada gambar. Sepinggan nasi
dan seekor ikan kecil. Ini pun rezeki juga. Sekurang-kurangnya ada juga seekor ikan
kecil. Kalaupun tidak ada ikan, masih ada nasi.
Masih banyak orang yang tidak ada nasi untuk
dimakan. Mereka sanggup untuk menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan
untuk mengalas perut bagi meneruskan kehidupan.
Jangan mengeluh dan kecewa apa yang kita
ada dan dapat. Jika mahu lebih, berusahalah untuk mendapatkannya.
Jangan pula siang dan malam berhajat itu
dan ini, namun apabila segalanya dimakbulkan, kita lupa untuk menitip rasa
berterima kasih kepada-Nya.
Allah telah pun memberi peringatan tentang
hal tersebut dalam surah al-Araf, ayat 10 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami
telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu
padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah
sedikit kamu bersyukur.“
Kehidupan seseorang insan akan lebih
bermakna sekiranya rezekinya dikongsi bersama dengan golongan yang memerlukan.
Pertolongan itu bakal membantu mereka di akhirat kelak.
Tujuan utama kita keluar bekerja adalah
untuk mencari reda Allah dan ia adalah sebahagian daripada amal soleh.
Selagi pekerjaan itu selari dengan syariat
dan halal, maka setiap tindakan sepanjang melaksanakannya akan diberi pahala.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya
kamu tidak membelanjakan suatu biaya (yang tujuannya) kerana ingin mendapatkan
reda Allah melainkan kamu akan diberi pahala melaluinya, sehinggakan apa yang
kamu beri makan ke dalam mulut isterimu (melalui hasil usaha kerja yang
dilakukan).“ (Hadis riwayat Bukhari)
Segala usaha yang dilakukan untuk mencari
nafkah demi keluarga tercinta tidak akan disia-siakan, bahkan diberi ganjaran
yang besar daripada Allah SWT.
Sesungguhnya, membelanjakan wang kepada
ahli keluarga adalah sebaik-baik sedekah.
Justeru, seseorang yang bekerja perlu
meletakkan niat di sebalik pekerjaannya adalah untuk bersedekah dengan cara
memberi biaya hidup kepada keluarga.
Daripada Abu Hurairah, baginda
bersabda: “Satu dinar yang kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang
kamu gunakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang kamu sedekah kepada orang
miskin, dan satu dinar yang kamu biaya keluargamu; yang paling besar ganjaran
pahalanya ialah yang kamu gunakan untuk membiayai keluargamu.“ (Hadis riwayat Muslim)
Islam memandang tinggi dan menyukai umat
yang melaksanakan tugasan dengan tekun dan sentiasa memperbaiki kualiti kerja
yang dilakukan.
Sikap seumpama itu menunjukkan bahawa dia
seorang yang amanah dengan kewajipan yang diberikan. Pada masa sama, mereka
sebenarnya sedang menuju cinta dan kasih sayang Allah.
No comments:
Post a Comment