Friday, 13 March 2020

KENAPA KULAT BUSUT PERLU DIKUTIP SEGERA

Mengikut Wikipedia terdapat 1.5 juta spesis kulat di dunia dan Cuma 140 spesis sahaja yang tidak boleh dimakan. Salah satu cendawan atau kulat yang boleh dimakan ialah kulat pusu atau cendawan busut.

Selain itu, terdapat juga cendawan lain yang diminati seperti cendawan tiram, cendawan telinga kera, kulat peha ayam, kulat sisir, kulat susu kambing (susu pelanduk), kulat tiong, kulat dukung anak dan sebagainya.

Kulat-kulat ini biasanya tumbuh selepas musim hujan. Sebab itu ada pepatah, "seperti cendawan tumbuh selepas hujan", menggambarkan banyak yang tumbuh.

Kulat pusu agak unik. Tumbuhnya hanya setahun sekali di satu-satu tempat. Sebab itu kulat pusu juga dipanggil kulat tahun atau cendawan tahun kerana tumbuh hanya setahun sekali.

Dinamakan kulat pusu kerana biasanya tumbuh di kawasan ada pusu tau busut. Pembiakannya dikaitkan dengan anai-anai. Di mana ada anai-anai dan busut, tidak kiralah busut itu rendah atau nampak mendatar, di situ ada potensi akan tumbuh kulat pusu.

Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. Cara pembiakan atau penyebarannya adalah simbiosis obligat dengan anai-anai spesis  Odontotermes spp. 

Anai-anai membiakkan kulat dengan cara menghadamkan kayu-kayu dengan pertolongan mikrob-mikrob yang berada dalam perut mereka, mencerna kayu-kayu dan membuangnya sebagai najis didalam pusu tempat mereka tinggal.

Kulat pula memerlukan najis anai-anai untuk tumbuh, di mana miseliumnya tumbuh pada kayu-kayu yang telah dicerna oleh anai-anai itu. Anai-anai sebaliknya menggunakan bahan yang telah terkompos oleh kulat sebagi makanan. Inilah yang dikatakan hidup bersama sehidup semati.

Kulat pusu boleh ditemui di kawasan berhampiran rumah, kawasan belukar, kebun getah, kebuh kelapa sawit, kebun dan mana-mana kawasan yang tidak tercemar dengan racun serangga.

Setakat ini kulat pusu masih belum dapat ditanam atau diusahakan secara komersial seperti kulat-kulat lain. Diharapkan ada orang mencuba menanam cendawan pusu. Permintaan kulat busut amat tinggi.

Kulat pusu tidak hidup lama, jangkahayatnya mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan muncul dari tanah. Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari atas permukaan bumi dan topinya sedikit membuka.

Semasa hari kedua juga teksturnya sedikit kenyal dan keras. Pada hari ketiga topinya menjadi besar dan hampir kembang. Pada hari keempat topinya berkembang dengan penuh.  

Oleh itu hari yang paling sesuai untuk mengutip kulat pusu adalah pada hari kedua. Jika dipungut pada hari ketiga, kualitinya sudah berkurangan apabila topinya telah kembang dan tidak lagi kenyal. Topi yang telah kembang juga terdapat hidupan kecil yang perlu dicuci atau dibuang sebelum dimasak.

Sebab itu, jika bertemu dengan pokok kulat pusu mula tumbuh (hari pertama), maka pada keesokkan perlu dicabut. Memandang tidak dapat diduga bila cendawan busut tumbuh, kerap kali cendawan busut rosak tidak diambil.

Sebab itu sering diungkapkan istilah "rezeki terpijak" apabila berpeluang menemui cendawan tahun ini.

Gambar: Kulat pusu yang telah kembang berusia 3 atau 4 hari.

No comments:

Post a Comment