Hari Deepavali, atau dikenali sebagai Pesta
Cahaya, adalah salah satu perayaan masyarakat Hindu yang paling popular di
Malaysia. Ia disambut pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil, iaitu
antara bulan Oktober dan November. Di Semenanjung Malaysia, perayaan ini
disambut dengan meriah memandangkan kaum India adalah salah satu daripada tiga
kaum utama di Malaysia. Hari Deepavali merupakan cuti umum di semua negeri
kecuali Sarawak.
Deepavali bermaksud “sebarisan pelita”
adalah simbolik kepada kepercayaan bahawa kecerahan akan mengatasi kegelapan,
kebaikan akan mengatasi kejahatan, keadilan akan mengatasi kezaliman, dan
kebijaksanaan akan mengatasi kejahilan.
Selain memeriahkan perayaan, pelita juga
dipasang dan dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan
kebaikan mengatasi kejahatan berdasarkan lagenda yang diturunkan kepada mereka
mengenai Raja Narakasura dan Dewa Krishnan.
Semasa sambutan Deepavali, penganut agama
Hindu akan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi sebelum melakukan upacara
sembahyang sama ada di rumah atau di kuil-kuil. Ini bertujuan menyucikan tubuh
badan yang diumpamakan seperti mandi di Sungai Ganges untuk membersihkan diri
dari segala kejahatan dan sifat dengki.
Antara makanan tradisional dan popular yang
sering dihidangkan pada pagi Deepavali adalah sembilan jenis hidangan
sayur-sayuran seperti ‘aloogobi’ iaitu campuran ubi kentang dan kobis bunga,
‘paneer’ campuran masala, tairu dan kari dal, muruku, ‘adivasam’, dan
‘payasam’.
Aktiviti kunjung-mengunjungi ke rumah kaum
keluarga dan rakan-rakan terdekat akan dilakukan selepas selesai sembahyang.
Biasanya, suri rumah akan menyediakan kotak kecil berisi manisan dan membawa
bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka.
Rumah-rumah penganut Hindu juga dihiasi
dengan “kolam”, “rangoli”, atau “muggu” iaitu lukisan yang dibuat daripada
tepung beras berwarna-warni untuk menyambut tetamu.
No comments:
Post a Comment