Friday 8 June 2018

TUDUNG KEPALA TIDAK WAJIB

Gamal al-Banna (1920-2013) yang beraliran liberal berkata, tiada bidang dikuasai adat resam atas nama Islam melebihi (yang berlaku ke atas) wanita. Gamal al-Banna menganggap tudung kepala merupakan adat yang bermaksud tidak wajib. Gamal merupakan adik bongsu kepada Mursyid Am al-Ikhwan al-Muslimun Syeikh Hassan al-Banna 

Sesetengah arahan bersifat umum tentang pakaian, hiasan dan adab telah digunakan untuk mendirikan penjara bagi wanita dengan tujuan untuk menjauhkan mereka daripada kehidupan harian dan menghalang mereka daripada belajar dan bekerja selain daripada bergaul dengan lelaki.

Adat resam yang diwarisi bercampur aduk dengan kecenderungan lelaki. Yang dimaksudkan kecenderungan lelaki di sini ialah kecenderungan yang menghasilkan adat resam yang menjadi hukum yang tidak berpihak kepada wanita.

Seterusnya Gamal berkata, tidak dipertikaikan bahawa wanita dalam dakwah Islam hari ini berbeza dengan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Mereka kini tidak memenuhi masjid untuk mengerjakan sembahyang dan meraikan perayaan. Mereka juga tidak ikut serta dalam kerja-kerja amal makruf dan nahi mungkar seperti dikehendaki Allah.

Mereka tidak memperlihatkan perhiasan mereka kepada kumpulan 12 yang disebut dalam al-Quran dan mungkin juga tidak akan diberikan haknya yang sah dalam pembahagian harta. 

“Saya telah menghadiri beberapa forum di Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis dan Switzerland yang diasingkan wanita daripada lelaki atau diasingkan mereka jauh di satu tempat yang menghubungkan mereka dengan forum melalui litar televisyen.

“Sedangkan pada zaman Rasulullah wanita mengerjakan sembahyang di masjid, mereka bercakap dengan Rasulullah dan baginda juga bercakap dengan mereka. Dan wanita juga pernah menyanggah pandangan Omar bin al-Khattab dan Omar pun terpaksa mengalah kepadanya.

“Tetapi perkara ini tidak berlaku dalam pelaksanaan dakwah Islam pada masa ini. Faktor psikologi dan adat resam telah menjadi faktor penguasa dan menyebabkan isu wanita menjadi salah satu isu kompleks dakwah Islam dan hijab (tudung) menjadi simbol Islam.”

Menurut Gamal, al-Quran hanya menerangkan tentang konsep yang umum mencakupi lelaki dan wanita. Ia melarang wanita membuka dada dan bermain dengan kaki untuk menunjukkan hiasan-hiasan tersembunyi (seperti gelang kaki). Semua itu adalah arahan yang bersifat umum yang menuntut berlaku sopan dan bukan menuntut memakai bentuk pakaian tertentu.

Soal pakaian, makanan, minuman dan lain-lain adat dalam perhubungan sosial bukan tergolong daripada akidah, tetapi tergolong daripada urf (adat resam) yang diakui al-Quran ketika ia menggariskan konsep amal ma’ruf dan nahi mungkar. (Gamal al-Banna, Mas’uliyyah Fasyl ad-Daulah as-Islamiyyah, muka surat 35-36).   

Beliau berkata: “Sepatutnya wanita Islam beriltizam dengan adab sopan Islam tetapi ini bukan bererti mesti berpegang dengan pakaian hijab yang terkenal itu. “Dan jika wanita mahu menutup rambut mereka memadailah dengan memakai songkok yang menutupi rambut yang dikehendaki.”  (ibid, muka surat 84).

CATATAN - KANDUNGAN MAKALAH DI ATAS SEKADAR MENGEMUKAKAN APA YANG DISEBUT SEBAGAI PERBEZAAN PENDAPAT DICETUSKAN DI KALANGAN ULAMA ALIRAN LIBERAL. PENDAPAT GAMAL DALAM BANYAK PERKARA SENTIASA MENDAPAT KRITIKAN DARI ULAMA LAIN.

No comments:

Post a Comment