Thursday 1 April 2021

JAUHI BUDAYA HUTANG

Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca sikap berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun tidak mempunyai tunai, namun keinginan membeli masih ingin ditunaikan dengan cara membeli secara kredit.

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Di kalangan golongan miskin memang sudah biasa dikaitkan dengan hutang. Namun, dalam dunia moden hari ini golongan kaya dan sederhana juga terlibat dengan hutang yang diambil dengan institusi kewangan dan syarikat menjual secara kredit.

Maknanya, berhutang sudah menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat. Orang miskin atau kesempitan wang berhutang untuk memenuhi keperluan hidup yang terdesak, sedangkan orang kaya berhutang untuk bermewah.

Pada dasarnya, Islam tidak melarang berhutang, tetapi tidak menggalakkan jika ia tidak dianggap satu keperluan yang terdesak. Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan satu budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan jika dijadikan perkara suka-suka.

Sepatutnya kita merasa ‘malu’ hendak berhutang kerana ia dikaitkan dengan kemiskinan dan ketidakupayaan dari segi kewangan. Mengapa berhutang dijadikan budaya sedangkan ia bukan keperluan amat penting yang sehingga mewajibkan berhutang seperti untuk keperluan perubatan dan pendidikan.

No comments:

Post a Comment