Thursday 17 October 2024

RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2024 BERKAITAN KEWARGANEGARAAN DILULUSKAN

 
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 17 Okt 2024.
 
RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Mac 2024, diluluskan dengan majoriti dua pertiga ahli Parlimen selepas ia dibahaskan oleh 70 wakil rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi dilakukan.
 
Menurutnya, seramai 206 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, sementara seorang tidak bersetuju dan 14 lagi tidak hadir.
 
Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang. Ini perubahan yang sebelumnya hanya jika bapanya seorang warganegara.
 
Sebelum ini, mana-mana anak yang dilahirkan di luar negara yang ibunya warganegara Malaysia, tetapi bapanya bukan warganegara Malaysia, tidak akan mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang. Sebaliknya, permohonan kewarganegaraan untuk anak itu perlu dilakukan melalui peruntukan undang-undang lain yang pastinya agak rumit.
 
Kelulusan pindaan RUU Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan ini dilihat sebagai satu kejayaan buat semua ibu warganegara Malaysia yang telah lama memperjuangkan agar hak kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara juga terpakai berdasarkan status ibu sebagai warganegara Malaysia.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment