Tuesday 31 July 2018

KAYA MISKIN BUKAN UKURAN DI SISI ALLAH

Kaya dan miskin adalah dua keadaan kehidupan manusia yang diukur berdasarkan kepada harta yang dimiliki. Bagaimanapun, ia bukan menjadi ukuran kasih atau benci Allah terhadap hamba-Nya.

Sesungguhnya Allah melebihkan rezeki terhadap golongan kaya dan adanya golongan miskin mempunyai hikmah tersendiri. Allah menjelaskan tentang Dia melebihkan rezeki di antara hamba-hamba-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Allah telah melebihkan rezeki seseorang dari yang lain.” - (Surah an-Nahl, ayat 71).

Wujudnya golongan kaya dan miskin bertujuan melengkapkan satu sistem hidup manusia yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Tidak ada golongan kaya tanpa adanya golongan miskin. 

Kekayaan dimiliki golongan kaya tidak mendatangkan apa-apa makna jika tidak ada golongan miskin yang sanggup berkhidmat untuk kemudahan golongan kaya. Harta hanya memberi kebaikan jika ia dapat digunakan.

Hakikatnya, harta adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya yang berusaha mencarinya. Sesiapa yang berusaha, maka dia beroleh apa yang diusahakan. 

Kurniaan Allah tidak memilih sama ada hamba itu taat atau ingkar. Hal ini tanda kemurahaan rahmat Allah yang tidak terbatas hanya kepada orang beriman sahaja. 

Jika Allah hanya memberi rezeki kepada hamba yang mentaati perintah-Nya, sudah pasti tiada orang tidak beriman dapat meneruskan hidup di muka bumi ini. Allah menjadikan bumi ini sebagai ladang untuk semua manusia mendapat kebaikan tanpa mengira seseorang itu beriman atau tidak.

Harta adalah ujian daripada Allah. Sangkaan mengatakan apabila mendapat kemewahan tanda Allah menyukai dan jika disempitkan rezeki dikatakan Allah membencinya, tidak menepati hal sebenarnya. 
 
Firman Allah bermaksud: “Ada manusia ketika diuji Tuhannya dengan memberi kepadanya kemuliaan dan nikmat (yang mewah), maka dia akan berkata (megah): “Tuhan memberi kemuliaan kepadaku. Tetapi, apabila dia diuji Tuhannya dengan menyempitkan rezekinya, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memberi kehinaan kepadaku” - (Surah al-Fajr, ayat 15 - 16).

Sesiapa dilebihkan rezekinya, diuji sama ada dirinya bersyukur dan menggunakan rezeki itu untuk kebaikan atau sebaliknya.

Firman-Nya dalam surah Ibrahim, ayat 7 bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Manakala si miskin diuji adakah dirinya dalam keadaan reda dan bersabar dengan ketentuan Allah terhadapnya. Si miskin perlu berusaha lebih gigih untuk mendapat rezeki dan tidak mudah berputus asa. 

Sesiapa lebih banyak diuji dengan kesusahan, sedangkan dia tetap sabar dan terus berusaha, Allah menyediakan baginya keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Keberkatan hidup tidak dinilai melalui kekayaan semata-mata, tetapi juga dilihat dari sudut ketenangan hati dan fikiran. 

Sekiranya kekayaan menjadi ukuran Allah menyukai seseorang, sudah pasti Qarun menjadi orang paling disayangi Allah. Sedangkan hal sebaliknya di mana Qarun telah mendapat pembalasan ditelan oleh bumi bersama-sama hartanya. Qarun adalah salah seseorang yang mendapat laknat Allah di dunia dan di akhirat. 

Ramai di kalangan para sahabat Rasulullah adalah golongan miskin. Malah Rasulullah sendiri mengamalkan hidup serba kekurangan. Tetapi, kedudukan miskin di dunia tidak sekali-kali menjadi tanda dibenci Allah. 

Ramai sahabat yang dijanjikan syurga, walaupun hidup di dunia dalam keadaan miskin. Balasan syurga ditentukan keimanan dan ketakwaan, bukannya kekayaan.  

Walaupun kaya dan miskin ditentukan Allah, hakikatnya ia berdasarkan apa yang diusahakan oleh manusia sendiri. Setiap makhluk yang dicipta oleh Allah telah ditetapkan rezeki yang mencukupi baginya.

Bagaimanapun, rezeki itu tidak datang bergolek jika tidak diusahakan. Setiap orang wajib berusaha mencari untuk dirinya dan ahli keluarganya. 

Allah lebih menyukai orang beriman yang kaya berbanding orang beriman yang miskin. Maka itu mencari kekayaan bukan ditegah dalam agama, bahkan amat digalakkan. Kekayaan dapat digunakan untuk menyempurnakan keperluan hidup dan membantu sesama Islam.

Islam amat menggalakkan setiap umatnya mencari keperluan hidup dengan keupayaan sendiri. Amalan meminta sedekah atau meminta pertolongan orang lain tidak disukai Rasulullah. Selagi dapat berusaha sendiri, wajib dilakukan untuk mengelak daripada meminta-minta.

No comments:

Post a Comment