Tuesday 31 July 2018

KADAR KEMISKINAN MENURUN

Kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah penengah di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus daripada RM4,585 pada 2014 kepada RM5,228 pada 2016. Selain itu, pendapatan isi rumah bulanan purata bagi Malaysia pula meningkat 6.2 peratus kepada RM6,958 pada 2016 daripada RM6,141 semasa 2014.

Kadar kemiskinan pada 2016 susut kepada 0.4 peratus berbanding 0.6 peratus dua tahun sebelumnya, kadar kemiskinan juga bertambah baik di bandar dan luar bandar, masing-masing pada kadar 0.2 peratus dan satu peratus.

Selain itu, kumpulan pertengahan 40 peratus atau M40 mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi dengan peningkatan 6.9 peratus setahun berbanding kumpulan lain iaitu kumpulan pendapatan terendah 40 peratus (B40) sebanyak 6.6 peratus dan kumpulan pendapatan tertinggi 20 peratus (T20) sebanyak 6.2 peratus.

Pendapatan isi rumah bulanan penengah bagi etnik India menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu lapan peratus setahun, diikuti Cina 7.1 peratus dan Bumiputera tujuh peratus.

Laporan pendapatan isi rumah mengikut negeri menunjukkan tujuh negeri melepasi pendapatan isi rumah bulanan penengah nasional iaitu sebanyak RM5,228.

Kuala Lumpur mendahului negeri lain dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM9,073 diikuti Putrajaya (RM8,275), Selangor (RM7,225), Labuan (RM5,928), Johor (RM5,652), Melaka (RM5,588) dan Pulau Pinang (RM5,409).

Bagi pendapatan isi rumah mengikut daerah, Sepang kekal sebagai daerah yang merekodkan pendapatan isi rumah penengah tertinggi (RM8,714) diikuti Petaling (RM7,904) dan Gombak (RM5,409).

Kebanyakan mereka di Sepang bekerja di tempat lain tetapi membeli rumah di lokasi itu, contohnya yang membeli rumah di Sepang bekerja di Putrajaya dan atas sebab itu, pendapatan isi rumah penengah tinggi berbanding daerah lain.

No comments:

Post a Comment