Tuesday 20 October 2020

GANTI PERKATAAN 'OSEM' KEPADA 'KEMAH'

Banyak orang menggunakan perkataan ‘osem’ untuk menzahir rasa kagum, pujian, menarik, hebat, terispirasi, amat baik dan segala maksud yang membawa maksud baik. 
 
Tidak salah kita guna perkataan osem. Ia salah satu yang menggambarkan bahasa itu ‘hidup’. Tidak jumud dan tidak kaku.  
 
Penerimaan perkataan saduran dari bahasa-bahasa lain seluruh dunia telah lama berlaku dalam bahasa Malaysia. Keadaan ini terus berlaku dan akan terus berlaku. 
 
Tetapi elok kalau kita mempertahan dan memperkasa perkataan sedia ada dalam bahasa Malaysia.  
 
Perkataan sedia ada tidak kurang membawa maksud yang ingin dinyatakan. Apa yang penting ialah perkataan itu diperkasakan penggunaannya agar lebih kerap digunakan. 
 
Apakah perkataan ‘hebat’ itu tidak cukup ‘hebat’ untuk kita menzahirkan rasa kehebatan. Atau di manakah kurang ‘kagum’ untuk kita menyatakan rasa kekaguman kita? 
 
Tidak mungkin ada di kalangan rakyat Malaysia yang tidak faham maksud ‘menarik’ jika kita menggunakan untuk menzahirkan rasa tertarik atau memuji kepada sesuatu. 
 
Kalau ada rakyat Malaysia yang tidak faham perkataan ‘menarik’ dan ‘tertarik’, itu maknanya dia tidak layak untuk mendapat kerakyatan Malaysia. 
 
Kalau di Kelantan, ada perkataan yang seerti dengan osem iaitu ‘kemah keming’ atau ‘kemah boh’ atau ‘kemah’. Perkataan lain ialah 'rapat jit''. 
 
Perkataan ‘kemah’ adalah dalam dialek Kelantan yang sama maksud dengan ‘kemas’ mengikut bahasa baku. Namun, perkataan kemah yang diucapkan dengan intonasi tertentu memberi maksud yang lebih mendalam. 
 
Jom, kita ucapkan ‘kemah’ tanda pujian, kagum, inspirasi dan menzahirkan rasa gembira bagi menggantikan perkataan ‘osem’.
 
Gambar: Kemah saing ambo naik pangkat. Tahniah. 

1 comment: