Sunday 8 August 2021

ZALIMAN SAULI NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS

 
Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkuatkuasa 9 Ogos 2021.   
 
Zaliman merupan bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK). 
 
Sepanjang bertugas di UMK, antara jasa dan sumbangan lebih tertumpu untuk membina sahsiah pelajar secara holistik dan melonjakkan Kebolehpasaran Graduan (GE) UMK serta menangani krisis Covid-19.  
 
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kemudian menyambung pengajian di Universiti Surrey (UK) dan memperoleh M.Sc (Advance Semiconductor Materials & Devices). Beliau memperoleh Ph.D (Microelectronics) dari UniMAP. 
 
Kerjaya pertama beliau ialah di Malaysian Institute of Microelectronics System (MIMOS) bermula Jun 1992 sehingga Dis 2002. Antara jawatan di MIMOS ialah jurutera kanan, pengurus produk dan pengurus bahagian latihan. 
 
Bermula Jan 2003, beliau menyertai UniMAP. Antara jawatan disandang di UniMAP ialah Dekan Pusat Komunikasi dan Kemahiran Keusahawanan, Pengarah Pusat Industri & Kerjasama Kerajaan, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mikroelektronik, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pengarah Pusat Pengajian Lanjutan. 
 
Bermula Mac 2018, beliau ‘dipinjamkan’ ke UMK dengan kontrak selama tiga tahun dan diamanahkan jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumi). Mac 2021, beliau kembali ke UniMAP. 
 
"Bersesuaian dengan pengalaman beliau dalam pelbagai portfolio, Zaliman telah menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan, memperkasa staf akademik melalui kelayakan profesional dan pengalaman industri dan mendapatkan pengiktirafan bagi kursus akademik yang dilaksanakan oleh universiti menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA), QS World University Subject Ranking dan THE World University Ranking," menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sempena pelantikan beliau. 
 
Zaliman turut terbabit dalam mempergiat aktiviti penjanaan pendapatan universiti bagi memastikan kelestarian kewangan dan melaksana program berimpak yang melibatkan universiti dan komuniti melalui konsep universiti untuk masyarakat (unimap4society). 
 
Menurut KPT, pengalaman dan kepakaran Zaliman juga telah diiktiraf melalui kepercayaan untuk menerajui pelbagai Persatuan dan Majlis seperti Pengerusi IEEE Electron Devices Society Malaysia Chapter 2009-2010 Session, Pengerusi Majlis Keusahawanan Universiti Awam, Pengerusi Majlis Kesihatan Universiti Awam dan Pengerusi Sekretariat Majlis Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam. 
 
Zaliman merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP), Kota Bharu.
 

No comments:

Post a Comment