Sunday 22 August 2021

TIDAK PERLU TUKAR NAMA SELEPAS PELUK ISLAM

Benarkah apabila orang bukan Islam memeluk Islam, maka wajib menukar nama kepada ’nama Islam’. Itu memang satu amalan yang diamalkan di negara kita. 
 
Namun, perkara itu bukan pula satu hukum wajib yang ditetapkan perlu dilakukan oleh seseorang yang baharu memeluk agama Islam atau dipanggil saudara baharu atau mualaf. 
 
Sebenarnya, tidak menjadi kesalahan sekiranya seorang saudara baharu tidak mahu menukar nama asalnya. Mungkin dia mempunyai alasan tertentu. Terutama, nama tersebut dianggap ’pusaka’ yang perlu kekal dalam hidupnya.  
 
Tambahan asal itu telah sebati dalam hidupnya dan orang ramai mengenali dirinya menggunakan nama itu.  
 
Dalam pada itu, perlu kita memahami ’kebenaran’ menggunakan nama asal itu. Perkara itu sebenarnya, bukan saja berkaitan saudar baharu, bahkan kepada anak-anak orang Islam yang baharu dilahirkan.  
 
Kita semua maklum, nama ada identiti diri. Orang akan mengenali siapa kita berdasarkan kepada nama. Dalam konteks di negara kita, nama akan melambangkan bangsa seseorang dan sekaligus juga menjelaskan mengenai namanya. 
 
Maka itu, di negara kita ini, jika namanya tidak ada ciri-ciri keislaman, maka dia dianggap bukan Islam. Jadi, bayangkan jika seorang yang bernama ’Tan Ken Ten’ mengatakan dia seorang Islam, sudah tentu akan menimbulkan was-was atau keraguan orang ramai.   
 
Ini kerana nama itu melambangkan seorang Cina dan bukan Islam. Itu kefahaman atau penerimaan yang berlaku di negara kita. 
 
Sebenarnya tidak ada salahnya, nama Tan Ken Ten untuk digunakan oleh orang Islam. Tetapi seperti yang dijelaskan sebelum ini, ia akan menimbulkan kekeliruan orang ramai. Maka, elok jika nama Islam digunakan untuk mengelak salah faham. 
 
Pun, jika masih ingin kekalkan nama itu, teruskanlah. Jangan jadikan halangan orang bukan Islam untuk memeluk Islam disebabkan tidak mahu menukar nama.  
 
Sebab itu, amat penting penyataan mengenai agama dimasukkan di dalam kad pengenalan. Orang Islam perlu mempertahankan keperluan ruangan agama dikekalkan di dalam kad pengenalan. Memang ada cadangan pihak tertentu ingin menghilangkan perkataan ’agama’ dalam kad pengenalan. 
 
Penggunaan nama keluarga atau surname masih dibolehkan dengan syarat nama tersebut membawa makna yang baik kepada agama asalnya. Kalau sudah terang-terangan namanya atau nama bapanya sebelum Islamnya membawa maksud tidak elok seperti Rama, Sita yang merupakan nama tuhan bagi penganut agama Hindu, maka wajiblah dia menukar namanya. 
 
Menyentuh mengenai mengekalkan nama keluarga (surname) pada kebanyakan nama saudara baharu, ia adalah sesuatu yang patut dikekalkan jika kena pada tempatnya. 
 
Perkara ini bersesuaian lagi dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2003. Saudara-saudara baharu tidak diwajibkan lagi menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah.  
 
Sebaliknya, mereka diberi pilihan untuk menggunakan nama bapa asal atau bapa kandung mereka. Kelonggaran yang diberikan oleh Jakim secara tidak langsung membantu saudara-saudara baru ini membina hubungan yang baik dengan keluarga kandung. 
 
Bagaimanapun, pastikan nama tersebut baik pada maknanya kerana nama adalah identiti pengenalan umat Islam dan kurang manis sekiranya penganut agama Islam tidak dibenarkan menggunakan nama-nama baik yang disarankan kerana mereka berhak menamakan diri mereka seperti yang diingini.
 

No comments:

Post a Comment