Tuesday 16 May 2023

INI PUN REZEKI, ORANG LAIN LANGSUNG TIDAK DAPAT

 
Perhatikan kepada gambar. Sepinggan nasi dan seekor ikan kecil. Ini pun rezeki juga. Sekurang-kurangnya ada juga seekor ikan kecil. Kalaupun tidak ada ikan, masih ada nasi.
 
Masih banyak orang yang tidak ada nasi untuk dimakan. Mereka sanggup untuk menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan untuk mengalas perut bagi meneruskan kehidupan.
 
Jangan mengeluh dan kecewa apa yang kita ada dan dapat. Jika mahu lebih, berusahalah untuk mendapatkannya.
 
Jangan pula siang dan malam berhajat itu dan ini, namun apabila segalanya dimakbulkan, kita lupa untuk menitip rasa berterima kasih kepada-Nya.
 
Allah telah pun memberi peringatan tentang hal tersebut dalam surah al-Araf, ayat 10 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.“
 
Kehidupan seseorang insan akan lebih bermakna sekiranya rezekinya dikongsi bersama dengan golongan yang memerlukan. Pertolongan itu bakal membantu mereka di akhirat kelak.
 
Tujuan utama kita keluar bekerja adalah untuk mencari reda Allah dan ia adalah sebahagian daripada amal soleh.
 
Selagi pekerjaan itu selari dengan syariat dan halal, maka setiap tindakan sepanjang melaksanakannya akan diberi pahala.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya kamu tidak membelanjakan suatu biaya (yang tujuannya) kerana ingin mendapatkan reda Allah melainkan kamu akan diberi pahala melaluinya, sehinggakan apa yang kamu beri makan ke dalam mulut isterimu (melalui hasil usaha kerja yang dilakukan).“ (Hadis riwayat Bukhari)
 
Segala usaha yang dilakukan untuk mencari nafkah demi keluarga tercinta tidak akan disia-siakan, bahkan diberi ganjaran yang besar daripada Allah SWT.
 
Sesungguhnya, membelanjakan wang kepada ahli keluarga adalah sebaik-baik sedekah.

Justeru, seseorang yang bekerja perlu meletakkan niat di sebalik pekerjaannya adalah untuk bersedekah dengan cara memberi biaya hidup kepada keluarga.
 
Daripada Abu Hurairah, baginda bersabda: “Satu dinar yang kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang kamu gunakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang kamu sedekah kepada orang miskin, dan satu dinar yang kamu biaya keluargamu; yang paling besar ganjaran pahalanya ialah yang kamu gunakan untuk membiayai keluargamu.“ (Hadis riwayat Muslim)
 
Islam memandang tinggi dan menyukai umat yang melaksanakan tugasan dengan tekun dan sentiasa memperbaiki kualiti kerja yang dilakukan.
 
Sikap seumpama itu menunjukkan bahawa dia seorang yang amanah dengan kewajipan yang diberikan. Pada masa sama, mereka sebenarnya sedang menuju cinta dan kasih sayang Allah.

No comments:

Post a Comment