Wednesday 25 October 2023

REPLIKA IKAN MENJADI TARIKAN DI TAWAU, SABAH

 
Tawau terkenal sebagai lokasi mendapatkan ikan yang murah, segar dan pelbagai jenis. Kedudukan Tawau yang berhampiran dengan laut membuka peluang kepada penduduknya menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai satu bidang mendatangkan pendapatan lumayan.
 
Ikan segar yang didaratkan di pelabuhan perikanan sekitar Tawau ada yang dijual segar dan selebihnya pula dijadikan ikan kering atau ikan masin. Ikan kering menjadi produk atau hasil laut yang mendapat permintaan pengunjung ke Tawau. Ikan kering di Tawau bukan sahaja murah tetapi juga banyak pilihan dan berkualiti.
 
Mereka yang ingin mendapatkan ikan masin boleh berkunjung ke Pasar Tanjung, di tingkat satu. Ia beroperasi seawal jam 6 pagi dan menutup perniagaan pada 6 petang. Namun, jika masih ramai pelanggan masa perniagaan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pembeli terutama yang datang dari jauh.
 
Banyak pengunjung luar yang datang dari Semenanjung, Labuan, Sarawak, pelancong asing malah penduduk Sabah dari daerah lain tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar berkenaan untuk membeli ikan kering sekiranya mereka datang ke daerah yang terletak di pantai timur Sabah ini.
 
Antara jenis ikan kering yang dijual di situ adalah ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis, ikan kerapu, ikan tulai dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
 
Ada pengunjung yang membeli ikan kering sehingga ratusan ringgit. Bahkan ada yang membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli pelbagai jenis ikan kering untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai cenderahati kepada saudara mara dan rakan apabila pula ke tempat masing-masing.
 
Sebagai mengiktiraf atau ikon kepada Tawau, beberapa jenis ikan telah dijadikan replika yang dibina atau diletakkan di tempat tumpuan ramai.
 
Antara lokasi ditempatkan replika ikan ialah di Bulatan Pasar Tanjung, Bulatan Ikan Marlin (Jalan Persiaran) dan Bulatan Majlis Perbandaran Tawau. Itu yang berada di dalam bandar Tawau. Banyak lagi replika ikan yang dibina di seluruh daerah Tawau.
 
Replika ikan yang terletak di Bulatan Majlis Perbandaran Tawau dianggap paling stategik kerana ia terletak di laluan paling sibuk yang menyambungkan Jalan Persiaran, Jalan Dunlop, Jalan Tawau Lama dan Jalan Kuhara.
 
Replika ikan di Bulatan Pasar Tanjung pula menjadi tumpuan kepada pengunjung pasar tertutup terbesar di Malaysia. Manakala replika ikan di Bulatan Marlin pula menjadi perhatian mereka yang singgah di Taman Persiaran dan Taman Traulsen yang terletak di pinggir pantai. 

Kampung Pasir Putih Baharu, Tawau 
 


No comments:

Post a Comment