Sunday 26 November 2017

KEMAJMUKAN KAUM ADA KELEBIHAN


Kemajmukan suatu sunnah Allah yang tidak dapat diubah oleh manusia. Rasulullah SAW sendiri tidak berupaya untuk menyuruh semua penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur baginda dengan pertanyaan: “Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka (seluruh manusia) menjadi orang beriman.” (maksud Surah Yunus ayat 99). 

Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat. Untuk hidup bermasyarakat, Islam memberikan ruang yang luas bagi setiap orang agar mengamalkan toleransi dan menghargai kebebasan.  

Demikian juga al-Quran adalah kitab suci yang menonjol dalam pengakuan terhadap keabsahan agama-agama selain Islam. Islam tidak menafikan semangat pluralisme (kemajmukan). Pluralisme ialah masyarakat pelbagai jenis etnik, agama dan budaya hidup damai dan berdampingan dalam satu bangsa. Daripada definisi ini, apakah Islam menafikan semangat pluralisme di mana masyarakat kita dapat hidup damai dengan berlatar belakang agama, budaya dan etnik yang berbeza?

Di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis, kita menemui semangat pluralisme, di antaranya kebebasan beragama, hidup damai berdampingan walau pun berbeza bangsa, keturunan, agama, dan budaya.

Pluralisme agama sebenarnya bermaksud bahawa setiap pemeluk agama bukan sahaja dituntut untuk mengakui keberadaan dan hak agama lain, tetapi terlibat dalam usaha memahami perbezaan dan persamaan untuk mencapai kerukunan dalam perbezaan itu.

Al-Quran dengan jelas memberi gambaran semangat ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam).” (Surah Al-Baqarah ayat 256). Ini bererti Islam memberikan kebebasan sepenuhnya dalam beragama. Kemudian Allah SWT kembali menegaskan dalam al-Quran Surah Yunus ayat 99 yang bermaksud: “Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?"

Ayat-ayat ini secara tegas mengatakan bahawa seandainya Allah hendak menjadikan manusia seluruhnya Muslim, Allah pasti dapat melakukannya. Tetapi Allah tidak berkehendak, sebab kalau pun manusia di bumi ini menjadi Muslim, mereka tetap bermusuhan dan berbeza pendapat.

Oleh kerana itu, Allah menciptakan manusia berpuak-puak, bersuku-suku dan bermacam ras untuk saling mengenal dan membangun kerjasama atas dasar kebaikan.

Pada hakikatnya kemajmukan diakui dan diterima oleh Islam selagi ia bercirikan kedamaian. Kegagalan dalam mengembangkan semangat tolak ansur serta pluralisme agama seperti yang tercatat di dalam al-Quran hanya akan membangkit golongan Muslim radikal. 

Sebaliknya, keberhasilan dalam melahirkan konsep toleransi beragama sangat bergantung pada kemampuan umat Islam menanamkan kesedaran masyarakat akan prinsip al-Quran tentang pluralisme keagamaan secara umum dan sikap positif terhadap agama lain.

Ketika teks al-Quran mengandungi banyak ayat yang secara nyata mendukung pluralisme, sejarah Islam juga memberikan banyak elemen pluralisme. Ketika Nabi Muhammad tiba di Madinah, pertama kali yang dilakukan adalah menyatukan masyarakat yang memiliki latar belakang berbeza baik agama mahupun etnik.

Formula yang dilakukan Rasulullah SAW setelah menyatukan umat Islam di Madinah yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar, Nabi mengadakan perjanjian atas dasar kesatuan dan kebebasan beragama dalam “Piagam Madinah”. Di dalam piagam ini terdapat nilai-nilai persamaan, kebebasan beragama, hak asasi manusia, musyawarah dan demokrasi.

Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz, beliau bersungguh-sungguh mengembangkan sikap keterbukaan dalam beragama dengan melarang meruntuhkan gereja dan memberi peluang mereka berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan.

No comments:

Post a Comment