Perjuangan mencapai kemerdekaan biarpun
dicatatkan dalam sejarah dilakukan dengan rundingan tanpa pertumpahan darah,
namun sejarah yang panjang sebelum itu telah terpahat nama tokoh terbilang yang
berjuang menentang penjajah secara kekuatan.
Jika disorot, pasti ramai di antara anak kita yang tidak
mengetahui nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul
Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka
disogokkan dengan cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang
lebih menyeronokkan.
Bagi tatapan generasi kini, elok jika diimbau sedikit
perjuangan Mat Kilau, seorang tokoh pejuang yang unggul di negeri Pahang.
Beliau terkenal dengan keberanian dan kegagahannya melancarkan gerakan
penentangan (1891-1895) kerana membantah campur tangan British dalam urusan
pentadbiran Pahang.
Beliau membantah pelaksanaan sistem Residen yang mengurangkan
kuasa Sultan dalam hal-ehwal pentadbiran, sekali gus mengetepikan peranan
pembesar tempatan serta kesejahteraan rakyat. Dalam strategi awal
penentangannya, Mat Kilau mengarahkan pengikutnya memotong talian telegraf bagi
menyukarkan dan memutuskan perhubungan antara pegawai pentadbir British.
Bagaimanapun, perbuatan ini dapat
dikesan pihak British. Pihak British
pula cuba memujuk Mat Kilau agar bekerjasama dengan mereka, namun
ditolak oleh Mat Kilau. Keengganan Mat Kilau bekerjasama dijadikan alasan oleh
British menangkapnya. Dengan ini gerakan memburu Mat Kilau serta pengikutnya
mula dilancarkan.
Perjuangan dan ketokohan Mat Kilau ini dapat dilihat daripada
kesungguhan dan kesanggupan beliau berjuang berterusan menentang British
walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Beliau menyedari Sultan yang berada di
bawah pengaruh dan telunjuk British tidak mungkin memberi sokongan kepada usaha
penentangan itu.
Ini ditambah pula dengan ada beberapa pembesar dan orang
tempatan sendiri yang sanggup berpihak kepada British dengan menyalurkan
maklumat dan menyertai gerakan memburu beliau dan pengikutnya. Mat Kilau juga
menyedari bahawa segala alatan senjata tradisi dan jumlah kecil senjata yang
digunakan oleh pengikutnya, sukar menandingi senjata moden digunakan askar
upahan British.
Gerakan penentangan yang tidak bersepadu ditambah dengan
jumlah pengikut yang tidak ramai, menyukarkan lagi peluang mereka mengalahkan
dan menghalau British dari bumi Pahang. Namun Mat Kilau tetap meneruskan
perjuangannya habis-habisan sehingga kampung tempat tinggalnya, iaitu Kampung
Budu, dibakar British.
Penentangan Mat Kilau walaupun tidak berjaya menyekat
kemaraan British, setidak-tidaknya dapat menyedarkan pihak British agar tidak
memandang remeh terhadap keupayaan rakyat tempatan yang memiliki kekuatan
tersendiri seperti ditonjolkan oleh Mat Kilau.
Berdasarkan kepada sumber rasmi di Arkib Negara Malaysia,
pihak pentadbir British terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk
mendapatkan khidmat tambahan polis Sikh bagi membantu memerangi kumpulan
penentang (ada hampir 200 fail dalam simpanan Arkib Negara berkaitan Mat Kilau
dan pergolakan di Pahang yang boleh dirujuk).
Perbelanjaan tambahan juga diperlukan untuk mendirikan kubu
pertahanan, jambatan dan menyediakan peralatan senjata selain membiayai
ekspedisi memburu penentang berkenaan. Perkara ini jelas menunjukkan betapa
besar ancaman dan tekanan dihadapi pihak British, walaupun kumpulan penentang
ini terdiri daripada orang kampung yang tidak terlatih.
Malah, mereka ini tidak memiliki senjata canggih untuk
menandingi senapang dan polis upahan British, sebaliknya hanya berbekalkan
semangat juang yang tinggi dan kecintaan kepada negara yang tidak berbelah
bagi.
No comments:
Post a Comment