Saturday, 9 December 2017

DOSA AMAL SIHIR JADI KAFIR


Sihir dilakukan dengan khidmat bomoh atau pawang menggunakan kuasa ghaib seperti jin dan hantu. Sihir menyebabkan mangsa menderita kemurungan, tersiksa zahir dan batin, serta penyakit sehingga boleh membawa maut.

Umat Islam perlu menjauhkan amalan sihir kerana boleh merosakkan akidah kerana mendapatkan pertolongan dari kuasa ghaib. Selain itu, perbuatan menyebabkan kesan buruk kepada orang lain dengan cara apa sekalipun adalah ditegah dilakukan. Justeru, hukum mengamalkan sihir adalah haram.

Hukum orang yang mendapatkan khidmat ahli sihir adalah berbeza berdasarkan situasi berikut:

Pertama: Sesiapa yang mendapatkan khidmat ahli sihir, membenar dan mempercayai perkhabarannya dengan berkeyakinan ahli sihir itu dapat mengetahui perkara ghaib, maka orang yang seumpama ini dihukum kafir.

Dia dikira kafir kerana telah mensyirikkan Allah dengan ahli sihir tersebut dalam mengetahui perkara ghaib yang asalnya adalah milik Allah sahaja.

Adapun bagi sesiapa yang mendapatkan khidmat ahli sihir dan mempercayai perkhabaran ahli sihir tersebut dalam keadaan dia menyakini bahawa ahli sihir itu tidak mengetahui perkara ghaib.

Sebaliknya ahli sihir itu mengambil berita-berita yang dikhabarkan kepadanya daripada jin yang mencuri dengar dari sumber lain atau qarin yang sentiasa mendampingi manusia.

Dalam situasi itu, para ulama berbeza pandangan, sebahagian mereka berpandangan orang seperti ini tetap dikira terkeluar dari agama, manakala sebahagian ulama yang lain berpendapat orang seperti ini telah melakukan salah satu dosa daripada dosa-dosa yang besar.

Kedua: Sesiapa yang mendatangi ahli sihir hanya untuk bertanya, ia dikira telah melakukan dosa besar dan tidak diterima solat yang dilakukannya selama 40 hari sebagai halangan daripada melakukan dosa tersebut.

Pengamal sihir dan orang yang menggunakan khidmat ahli sihir sekiranya tidak bertaubat adalah termasuk dalam golongan ahli neraka.

Mempelajari ilmu sihir adalah haram secara mutlak walaupun dengan tujuan untuk kebaikan.

Semua pihak adalah diharamkan daripada menyebarkan, memasarkan dan mempromosikan amalan-amalan yang berkaitan dengan sihir.

Apa pun sebab membawa kepada menggunakan khidmat ahli sihir adalah bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia.  

Perbuatan membuat penyiksaan atau perkara mudarat kepada orang lain lebih hina daripada binatang buas yang bertindak secara bersemuka dan melakukan dengan khudrat sendiri.

No comments:

Post a Comment