Saturday 16 December 2017

KOLAM AIR PANAS PORING RANAU, SABAH

Pekan Ranau merupakan pekan kecil di pedalaman Sabah.  Letaknya kira-kira 110 kilometer dari Kota Kinabalu.  Bagi mereka berpeluang melancong ke Sabah, jangan melepas peluang berkunjung pekan Ranau. 

Ada dua destinasi pelancongan utama di Ranau iaitu Taman Kinabalu yang meliputi kawasan Gunung Kinabalu dan Kolam Air Panas Poring.

Kolam Air Panas Poring terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Ranau.  Tempat tersebut pertama kali telah dibangunkan sebagai tempat istirehat oleh tentera Jepun ketika menakluk Sabah pada zaman Perang Dunia Kedua.

Memandangkan ia berpotensi menarik ramai pengunjung ke Ranau khasnya dan Sabah amnya, kerajaan Sabah telah mengambil insentif membangunkannya dengan lebih sistematik pada awal tahun 60 an dan telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 1966. 

Telaga air panas yang terdapat di situ merupakan mata air semulajadi yang terbentuk oleh aktiviti gunung berapi yang kurang aktif jauh di dalam perut bumi. 

Wap panas dari perut bumi kehilangan sebahagian habanya ketika bergerak naik kepermukaan bumi melalui rekahan gunung berapi.  Wap itu mengembang apabila sampai berhampiran permukaan bumi dan kemudian bertukar menjadi cecair dan seterusnya membentuk mata air. 

Air panas di Poring bersuhu di antara 49 hingga 60 darjah Calsius.  Ia kaya dengan kandungan sulfur yang dipercayai sesuai untuk mengubati pelbagai jenis penyakit kulit. 

Untuk kemudahan pengunjung ke Kolam Air Panas Poring mandi air panas dengan selesa, tempat mandi khas disediakan.  Air di dalam kolam tersebut boleh diimbangi suhunya mengikut kesesuaian dengan mencampur air sejuk dari gunung. 

Selain kolam mandi air panas, terdapat juga dua kolam air sejuk untuk kanak-kanak mandi manda.  Airnya yang disalurkan terus dari gunung berasa sejuk, bersih dan jernih.

Berkunjung ke Kolam Air Panas Poring khasnya dan pekan Ranau amnya, pastinya meninggalkan kenangan yang menarik. Sesungguhnya lebih banyak lagi keistimewaan menunggu pengunjung ke Ranau yang hanya dirasai apabila tiba sendiri di sana.  

No comments:

Post a Comment